Kor Ming menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mesra Rakyat (RMR) di Felda Sungai Mas, Kota Tinggi, hari ini.

KOTA TINGGI – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan RM267.76 juta untuk projek pembangunan serta naik taraf infrastruktur awam termasuk rumah ibadat di Johor pada tahun ini.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, peruntukan tersebut melibatkan pelaksanaan 40 projek pembangunan dan naik taraf dengan kos RM264,257,255.

“Ini melibatkan pelaksanaan projek-projek pembangunan dan naik taraf infrastruktur awam, pembangunan, perumahan, landskap dan komuniti demi kesejahteraan penduduk setempat.

“Semuanya sebanyak RM267.76 juta adalah antara peruntukan paling tinggi sepanjang jelajah sentuhan kasih KPKT ke seluruh negara, Johor sentiasa didukung dijulang tinggi

“Selain itu peruntukan itu juga bagi kerja-kerja pembaikan serta penyelenggaraan 32 buah rumah ibadat bukan Islam (RIBI) sebanyak RM3,504,647,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mesra Rakyat (RMR) di Felda Sungai Mas di sini hari ini.

Kor Ming berharap warga Johor akan sentiasa berdiri teguh bersama-sama Kerajaan Madani bagi memastikan usahamembina semula negara akan membuahkan hasil.

Sokongan itu, katanya, sekali gus akan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat dan memakmurkan ekonomi negara.

Kor Ming berkata, kerajaan juga tidak meminggirkan kawasan pembangkang dan ini boleh dibuktikan apabila daerah Muar turut menerima manfaat walaupun kawasan itu diwakili ahli Parlimen pembangkang.

Menurutnya, kawasan pembangkang dijaga atas prinsip tiada tertinggal meskipun peruntukan tidak diberikan kepada wakil rakyat kerana defisit kredibiliti tetapi disalurkan menerusi agensi kerajaan yang berwibawa.

“Seperti yang ditekankan Perdana Menteri, kita perlukan lebih banyak lagi medan selera berkualiti tinggi yang selesa maka hari ini saya naik taraf medan selera jeti pekan Panchor, sebab itu saya kata (ahli Parlimen) Muar tak payah lari-lari susah payah, dari Muar lari sampai Kuala Lumpur. Tak payah pun kami akan datang.

“Semalam, saya bagi Muar RM400,000 hari ini, tambah lagi RM800,000 sebab itu tak payah lari, bincang sahaja kita kerajaan ini baik-baik semua boleh bincang. Selepas itu RM1.14 juta untuk medan selera asam pedas,” katanya.

Tambahnya, Muar yang berstatus Bandar Diraja memang dijaga dengan baik oleh pihak kerajaan. – MalaysiaGazette