Tertuduh, Lok Kian Seng, 48; Daniel Ho Chin Cher, 34; Woon Chee Weng, 45 dan Lim Chien Voon, 42, dijatuhi hukuman penjara 20 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh Melaka hari ini. selepas membuat pengakuan bersalah menyembunyikan kematian dua lelaki bertatu Julai tahun lalu.

MELAKA – Padah menyembunyikan kematian dua lelaki bertatu Julai tahun lalu, empat lelaki dijatuhi hukuman penjara 20 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Tertuduh, Lok Kian Seng, 48; Daniel Ho Chin Cher, 34; Woon Chee Weng, 45 dan Lim Chien Voon, 42, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didapati bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, dengan sengaja dan mempunyai sebab untuk menghilangkan keterangan.

Ia adalah bagi suatu kesalahan dengan menyembunyikan kematian dua lelaki iaitu Stanley Chew Kok Kin, 23, dan Soo Yao Long, 26.

Perbuatan itu dilakukan antara 7 hingga 10 Julai 2023 di sebuah rumah bernombor di Taman Paya Rumput Perdana, dalam daerah Melaka Tengah.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara boleh sampai tujuh tahun dan dikenakan denda.

Terdahulu, Peguam Nahdan Rengganathan Abdullah yang mewakili Daniel dan Chien Voon merayu hukuman ringan dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai penjual buah serta penghantar makanan.

Hujahnya, mereka juga mengalami tekanan mental selepas dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada sebutan pertama pada 11 Ogos tahun lalu.

Sementara itu, Kian Seng diwakili peguam Asyraaf Abu Bakar Hamzah, manakala Chee Weng yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan beliau adalah penyara tunggal keluarga.

Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar bagaimanapun memohon hukuman setimpal dengan alasan tindakan tertuduh membuang dua mayat berkenaan menyebabkan polis tidak berpeluang mengesan punca kematian mangsa.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman 20 bulan penjara daripada tarikh tertuduh ditangkap antara 20 Julai 2023 hingga 23 Julai 2023.

MalaysiaGazette pada 10 Julai lalu melaporkan penemuan mayat dua lelaki berbungkus dalam kanvas berikat oleh seorang penghantar barangan runcit kira-kira pukul 9 pagi.

Kedua-dua mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mangsa yang disyaki mati sejak dua atau tiga hari lalu dibuang dalam semak di Kampung Ujong Padang di Cheng. – MalaysiaGazette