Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba ke mahkamah untuk mendengar perbicaraan suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 21 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Status representasi ketiga yang dikemukakan Datin Seri Rosmah Mansor untuk membatalkan 12 tuduhan pengubahan wang haram dan lima kes gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak diputuskan hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, pihaknya memerlukan masa kerana ia membabitkan cukai pendapatan dan beberapa prosedur dengan LHDN sebelum mencapai rumusan akhir.

“Proses memerlukan masa sebelum ia diputuskan kerana melibatkan isu cukai LHDN,” katanya.

Sehubungan itu, Hakim, K Muniandy memutuskan 11 Oktober ini sebagai tarikh baharu untuk hujahan.

Terdahulu, Rosmah yang diwakili peguam, Joshua Tay dikecualikan kehadiran oleh mahkamah hari ini.

Sementara itu, hakim yang sama mengingatkan supaya kes tersebut diutamakan supaya dapat diselesaikan segera.

“Saya tahu anda sibuk tapi saya harap ini diutamakan sebab kes ini tahun 2018,” kata Muniandy.

Sebagai rekod, isteri kepada Datuk Seri Najib Razak yang juga bekas Perdana Menteri itu memfailkan permohonan untuk dibebaskan dan dilepaskan daripada semua 17 pertuduhan pada 4 Oktober 2020 lalu.

Beliau telah mengemukakan representasi permohonan sebanyak tiga kali.

Beliau berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, beliau didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014 hingga 2018.

Rosmah didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukannya di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast