Keadaan kereta remuk akibat dihempap tembok konkrit yang dilanggar sebuah lori. FOTO Orang awam

KUALA LUMPUR- Sebuah kereta remuk akibat dihempap tembok konkrit penghadang jalan yang jatuh selepas dirempuh sebuah lori, dekat Sentul, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian, 2.03 petang.

Katanya, siasatan awal mendapati sebuah lori melanggar tembok penghadang jalan di Lebuh Raya DUKE berhampiran Sentul.

“Pelanggaran itu mengakibatkan penghadang jalan tersebut jatuh terkena sebuah kereta yang diparkir di bawah lebuh raya berkenaan.

“Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, siasatan lanjut berhubung kejadian itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur.

Terdahulu, beberapa keping gambar dikongsikan orang awam di media sosial menunjukkan sebuah kereta Perodua Kenari remuk dihempap blok konkrit yang sedang diparkir di ruang bawah laluan tersebut.- MalaysiaGazette