Timbalan Pengarah JPS Pahang, Ir. Mohamad Razali Jusoh di Program Taklimat Fungsi dan Kesedaran Stesen Telemetri serta Stesen Siren PRABN di Kuantan hari ini

KUANTAN – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pahang memaklumkan hampir 500 Stesen Telemetri dan Stesen Siren di bawah Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) telah disediakan di kawasan hotspot banjir seluruh Pahang.

Timbalan pengarahnya, Ir. Mohamad Razali Jusoh berkata, ia berfungsi memberi amaran awal jika berlaku peningkatan paras air yang boleh menjejaskan penduduk di kawasan terbabit.

“Di Kuantan, sebanyak 19 stesen-stesen ini telah dipasang termasuk di empat lokasi terbaru iaitu Kampung Kurnia, Kampung Belukar, Kampung Razali dan Bunut Rendang.

“Sebelum ini pun kita sudah membuat Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Belat yang bukan program PRABN. Itu pun sudah mampu mengurangkan banjir, tapi kita buat sistem amaran ni sebagai amaran awal lah,” katanya.

Timbalan Pengarah JPS Pahang, Ir. Mohamad Razali Jusoh

Beliau berkata demikian selepas Program Taklimat Fungsi dan Kesedaran Stesen Telemetri serta Stesen Siren PRABN yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif di Dewan PM Najib RRM Batu 3, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Razali berkata, bermula September, JPS dengan kerjasama pihak terlibat akan mengadakan sesi taklimat seperti hari ini sebagai persediaan menghadapi peralihan ke musim Monsun Timur Laut (MTL) tidak lama lagi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Belukar, Wan Roslinda Wan Nasir, 48, berkata, sesi tersebut penting dan memberi manfaat kepada penduduk di kampungnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Belukar, Wan Roslinda Wan Nasir

“Sebelum ini, banjir paling besar adalah pada 2013 dan biasanya kitaran ini akan kembali semula selepas 10 tahun. Ini dah tahun ke 11, maknanya kemungkinan besar kejadian air besar mungkin akan berlaku.

“Saya harap dengan adanya sistem baru ini, akan menambah baik tahap amaran kepada penduduk. Sebab sistem ni ada siren pemberitahuan dan orang kampung saya boleh bersiap siaga untuk pindah,” katanya. – MalaysiaGazette