Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah

ALOR GAJAH – Hasil laporan bedah siasat mengesahkan bayi lelaki berusia lapan bulan, Muhammad Al Fateh Amri Mohd. Fikry Amri meninggal dunia akibat lemas.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, ia disahkan doktor yang melakukan bedah siasat di Unit Forensik Hospital Alor Gajah malam tadi bagi kejadian itu yang diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

“Selepas kira-kira tiga jam proses bedah siasat bermula pukul 7.30 hingga 10.45 malam, punca kematian disahkan akibat lemas.

“Pemeriksaan juga mendapati tiada kesan kecederaan lain di tubuh bayi lelaki berusia lapan bulan ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Perintah reman pengasuh wanita berusia 34 tahun sehingga 13 September ini dikeluarkan oleh Majistret, Nor Syaliati Mohd Sobri bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

MalaysiaGazette hari ini melaporkan pengasuh wanita di taman asuhan kanak-kanak di Taman Kelemak Utama, Alor Gajah direman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Perintah reman suspek berusia 34 tahun sehingga 13 September ini dikeluarkan oleh Majistret, Nor Syaliati Mohd Sobri bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu suspek yang juga ibu kepada tiga anak berusia dua, enam dan lapan tahun bertubuh kecil anggaran ketinggian 145 sentimeter dan berat 55 kilogram itu tiba di mahkamah dengan diiringi pegawai polis kira-kira pukul 9.30 pagi.

Malam tadi, polis mengesahkan pengasuh terbabit sudah ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Taska berkenaan kira-kira 3.30 petang semalam.

Terdahulu media melaporkan bapa bayi, Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39, mendakwa dalam kejadian 8 pagi semalam, pengasuh berkenaan dilihat membedung, menyumbat botol susu menutup dengan kain dan menekup muka anaknya dengan bantal.

Perbuatan itu dilihat menerusi CCTV Taska selepas pengasuh berkenaan meminta isterinya datang untuk mengambil bayi sulungnya itu kira-kira pukul 9 pagi, sejam selepas kejadian itu.

Sebaik tiba, bayinya itu sudah dalam keadaan terkulai, mulut berdarah dan muka kebiru-biruan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pengasuh wanita disyaki bunuh bayi 8 bulan direman 7 hari