Skuad Harimau Malaya menjalani sesi latihan sempena persediaan perlawanan akhir Pesta Bola Merdeka 2024 menentang Lubnan ketika di Stadium MBPJ, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 06 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUNPUR – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyindir Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh gara-gara kejohanan Pesta Bola Merdeka 2024 yang tidak mendapat sambutan.

Mohd Puad berkata, negara yang menyertai kejohanan itu juga seolah-olah tidak memberi tarikan kepada peminat.

“Alamak, betulkah Pesta Bola Merdeka mampu jual 1000 tiket sahaja. Cuma Filipina, Lebanon dan Tajikistan yang jadi peserta? Negeri dekat seberang tambak Singapura pun tidak mahu datang? Takut Menteri Belia dan Sukan pun tidak minat,” katanya menerusi Facebook, di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Puad secara sinis berkata, beliau berharap Hannah dapat hadir ke final kejohanan itu.

Beliau juga menncadangkan agar tiket final itu diberi secara percuma.

“Diharap esok Menteri tengok final. Jangan pergi Paris sahaja tengok Olimpik 2024. Itu pun prestasi negara paling teruk. Satu emas pun tidak dapat.

“Elok final esok bagi tiket percuma dengan pesta bunga api. Tidaklah membazir dan ketirisan. Nanti Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) siasat pula.

“Jangan tutup sambutan ‘Malaysia Madani Jiwa Merdeka’ dengan sedih dan kemalapan,” katanya.

Terdahulu, Ultras Malaya yang menjadi penyokong setia pasukan bola sepak kebangsaan mengumumkan bahawa mereka memboikot Pestabola Merdeka.

Difahamkan Ultras Malaya tidak berpuas hati dengan situasi semasa bola sepak negara sama ada di peringkat kelab mahupun negara.

Rabu lalu, Malaysia berjaya melangkah ke pusingan akhir Kejohanan Piala Pestabola Merdeka 2024 edisi ke-43 pada kali ini.

Harimau Malaya kendalian Pau Marti Vicente telah menundukkan pasukan Filipina 2-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil. – MalaysiaGazette

Pestabola Merdeka 2024: Malaysia tewaskan Filipina melangkah ke final