Nasiruddin Mohd Ali

AMPANG – Jika benar Global Ikhwan Services & Business Berhad (GISB) Holdings membuat kesalahan, pihaknya sedia berunding bagi mengelak penyebaran fitnah.

Pengarah Eksekutif GISB, Nasiruddin Mohd Ali berkata, kebanyakan fitnah yang didakwanya telah ‘ditaburkan’ oleh mereka yang pernah terlibat dengan GISB sendiri.

“Fitnah ini adalah benda lama yang diulang semula dan kami pernah menjawab segala persoalan sebelum ini. Hampir 90 peratus fitnah ini ditaburkan oleh orang lama yang pernah bekerja di bawah GISB,” katanya.

Nasiruddin berkata demikian selepas persidangan meja bulat kepimpinan NGO, NGI dan masyarakat fasa satu forum rakyat menghadapi isu-isu kecemasan tahap amaran merah di Dewan Besar Galaxy Ampang hari ini.

Akibat berita yang didakwa palsu itu, produk dan servis GISB  telah dipulaukan.

Baru-baru ini tular mengenai satu dakwaan yang mengatakan GISB disyaki terlibat dengan eksploitasi ahli dan kanak-kanak melalui penubuhan amal dan kebajikan bagi kutipan derma.

Menurut Nasiruddin, pihaknya juga telah menghadiri kursus bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan bertemu dengan wakil pejabat agama apabila diminta.

“Namun tiada sebarang masalah yang ditemukan. Nasihat saya, janganlah pecah belahkan umat Islam dan isu ini sepatutnya telah ditutup.

“Jika ada lagi pihak berpuas hati, seeloknya kita berunding secara baik,” ujarnya.

Hari ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya juga telah menerima empat laporan mengenai organisasi itu di sekitar Selangor.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Menteri Agama di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar mengesahkan akan ada libat urus dengan wakil syarikat GISB.

Ini ekoran pelbagai dakwaan yang terpalit berhubung organisasi itu yang didakwa mempunyai kaitan dengan ajaran sesat Al- Arqam dan Rufaqa – antaranya mengeksploitasi agama dan kanak-kanak untuk meminta dan menjalankan perniagaan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Polis siasat GISB kerana dakwaan eksploitasi kanak-kanak – Ayob