Orang ramai duduk di belakang pagar sambil melihat ketibaan mangsa yang cedera atau terbunuh dalam pengeboman Israel berhampiran Khan Yunis ke hospital Nasser di bandar selatan Gaza pada 9 Julai 2024, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan kumpulan Hamas. Foto AFP

GAZA- Angka kematian rakyat Palestin akibat serangan berterusan Israel ke atas Semenanjung Gaza telah meningkat kepada 40,939, kata pihak berkuasa kesihatan yang berpangkalan di Gaza dalam satu kenyataan pada hari Sabtu.

Dalam tempoh 48 jam lalu, tentera Israel membunuh 61 orang dan mencederakan 162 yang lain, menjadikan jumlah kematian kepada 40,939 dan kecederaan kepada 94,616 sejak konflik Palestin-Israel tercetus Oktober tahun lalu.

Pada hari Sabtu, lapan orang terbunuh dan 15 yang lain cedera dalam serangan Israel terhadap sekolah Halima al-Sa’diyya di kawasan Jabalia di utara Gaza, lapor agensi berita rasmi Palestin, WAFA.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dalam satu kenyataan pula menyatakan serangan tepat ke atas kumpulan Palestin yang beroperasi di dalam kawasan dan kawalan Hamas di sekolah Halima al-Sa’diyya.

“Lokasi ini digunakan oleh Hamas untuk merancang dan menjalankan operasi pengganas terhadap tentera IDF dan Israel,” tambah kenyataan itu.

Israel telah melancarkan perang besar-besaran di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt. 2023, sebagai tindak balas kepada serangan mengejut tentera oleh Hamas ke atas bandar Israel. – Agensi