Nie Ching (tengah) bersama pengunjung dalam Karnival Komunikasi 2024 di Hutan Bandar Putra, Kulai, hari ini.

KULAI – Punca jenayah dalam talian terus meningkat dan dikhuatiri jumlah kerugiannya mencecah RM1 bilion pada hujung tahun ini antaranya berpunca daripada tahap literasi digital yang lemah.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, sehingga Julai lalu Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 18,660 kes jenayah dalam talian melibatkan kerugian keseluruhan RM758.4 juta.

“Jika kita tidak menjadi lebih literasi digital atau celik digital, saya percaya bahawa jumlah ini akan terus meningkat dan ini memang merupakan satu trend yang cukup membimbangkan.

“Sebab itu, kita menganjurkan Karnival Komunikasi ini bagi mendidik masyarakat. Kita tidak mahu lebih ramai menjadi mangsa dan bilangan kerugian mencecah RM1 bilion tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Karnival Komunikasi 2024 di Hutan Bandar Putra di sini hari ini.

Kelmarin, akhbar melaporkan Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian berkaitan kemudaratan jenayah dalam talian dijangka dibentangkan dalam di Parlimen pada Oktober ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu akan diperhalusi oleh pejabat peguam negara sebelum dibawa ke kabinet.

Karnival Komunikasi yang membawa tema ‘Literasi Komunikasi, Masa Depan Harmoni’ bertujuan berkongsikan maklumat kepada rakyat jelata bagi melahirkan satu masyarakat yang celik digital.

Nie Ching berkata, karnival itu merupakan salah satu inisiatif kementerian memberi pendedahan kepada orang awam mengenai kepentingan jalur lebar serta teknologi terkini di samping menarik minat komuniti setempat berkaitan inisiatif yang diberi.

Aspek pembangunan rakyat iaitu mempermudah kehidupan, memperluas perniagaan dalam pelbagai platform, meningkatkan pendapatan dan memperkasakan kerjaya menjadi tumpuan utama karnival berkenaan.

Menyentuh mengenai capaian liputan 5G di negeri ini, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, sebanyak 927 stesen pemancar 5G beroperasi di seluruh Johor, 77 daripadanya adalah di daerah ini.

“Setakat ini, kesemua stesen pemancar ini telah beroperasi yang menyaksikan liputan 5g di Johor pada kadar 84.1 peratus,” ujarnya.- MalaysiaGazette