Sebanyak 39 tong LPG dirampas KPDN Cawangan Raub dari premis di Genting Highlands, semalam.

KUANTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang merampas pelbagai barang kawalan dalam serbuan di sebuah premis di Genting Highlands semalam.

Serbuan itu dijalankan pada jam 12.30 pagi hasil aduan pengguna, kata Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin.

Menurutnya, serbuan oleh empat penguat kuasa itu merampas 39 tong LPG, 272 kilogram minyak masak paket, 168 kilogram gula pasir bertapis kasar di dalam premis bernilai RM2,196.20 disyaki bagi tujuan perdagangan.

“Syarikat yang menjalankan urusan perniagaan itu adalah milik warga tempatan, bukannya dimiliki oleh warga asing seperti aduan yang diterima.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan selain daripada premis yang dilesenkan oleh Pengawal Bekalan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Jezlily memberitahu, KPDN Negeri Pahang telah menerima 869 aduan daripada pengguna bermula Januari sehingga 6 September tahun ini yang mana 10% daripadanya melibatkan aduan berkaitan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Tambah beliau, daripada keseluruhan jumlah aduan, sebanyak dua kes berjaya dihasilkan. – MalaysiaGazette