VLADIVOSTOK, (Rusia) – Malaysia tidak berminat untuk menyebelahi Barat yang menentang Rusia kerana negara itu mengekalkan hubungan baik dengan semua pihak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu wawancara dengan RIA Novosti dan RT, lapor Sputnik pada Jumaat.
Mengulas faktor Malaysia memilih untuk tidak berpihak, Anwar berkata Malaysia tidak mahu merumitkan lagi isu.
“Maksud saya, niat kami, pendirian kami sudah tentu untuk mencari satu penyelesaian, tidak berpihak kepada Barat menentang Rusia. Apa faedahnya kepada kami? Seperti Amerika Syarikat dengan China, kami mengekalkan hubungan baik dengan kedua-duanya. Kenapa tekan kami supaya berpihak? Jadi mereka mencipta potensi masalah ini kerana ia merupakan satu sistem berlainan,” kata Anwar di luar Forum Ekonomi Timur.
Forum Ekonomi Timur bermula dari Selasa hingga Jumaat. Ia dihoskan oleh Far Eastern Federal University, di Vladivostok, Rusia, sebuah bandar pesisir pantai Pasifik. Sputnik ialah rakan kongsi penerangan berkenaan EEF 2024. -BERNAMA-SPUTNIK