Pihak bomba mengesan pencemaran bahan kimia di Kawasan Perindustrian Tiong Nam, Johor Bahru

JOHIOR BAHRU – Pencemaran bau di Taman Perindustrian Tropika, Ulu Tiram semalam, disyaki puncanya sama dengan sisa kimia yang dibuang di Kawasan Perindustrian Tiong Nam hingga menyebabkan pencemaran bau di Kampung Melayu Pandan, Selasa lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, dapatan itu diperoleh selepas pasukan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dan bomba digerakkan bagi mengenal pasti punca pencemaran itu sebaik menerima aduan penduduk Kampung Plentong Baru berkenaan pencemaran bau yang kuat dari Sungai Plentong.

Katanya, persampelan air dan bahan kimia itu dijalankan serta sampel terbabit telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

“Hasil dapatan ini, kerajaan negeri melalui JPBD (Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah) Johor Bahru akan mengambil langkah segera untuk memindahkan sisa kimia tercemar daripada kawasan perindustrian Tiong Nam ke pusat rawatan dengan kadar segera dijangka mengambil masa semiggu.

“Kerajaan negeri akan memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang awam menjadi keutamaan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Selasa lalu, JAS Johor dan bomba memulakan siasatan susulan aduan orang awam berkenaan keadaan air hitam dan bau busuk di Kampung Melayu Pandan di sini.

Pada Rabu pula, anggota JAS dan pasukan Hazmat JBPM menyusuri sekitar kawasan Sungai Pandan dan siasatan awal mendapati pencemaran bau itu disyaki berpunca daripada sisa kimia di Kawasan Perindustrian Tiong Nam.

Tian Soon berkata, pada pukul 10 pagi semalam, Mesyuarat Khas JPBD Johor Bahru diadakan dan dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Johor Bahru, Datuk Asman Shah Abd Rahman yang juga Pengerusi JPBD Johor Bahru bagi membincangkan penyelesaian isu pencemaran bau berkenaan.

“Hasil mesyuarat, melalui syor JBPM, tindakan awal yang dibuat adalah dengan menutup bahan tercemar terbabit dengan habuk kayu dan kanvas bagi mengelakkannya terdedah kepada hujan dan meresap ke dalam tanah serta seterusnya mengalir ke sungai dan berlaku proses pemeluwapan.

“JAS pula diarah untuk menyediakan terma rujukan (TOR) bagi kerja pemindahan bahan kimia itu selepas keputusan sampel diperolehi dari Jabatan Kimia Malaysia, esok,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak panik dan sekiranya mempunyai sebarang maklumat yang berkaitan, diminta tampil menghubungi JAS Negeri Johor di talian 1-800-88-2727 atau Bilik Gerakan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Johor Bahru di talian 07-220 0604 bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Beliau turut berkata, kerajaan negeri juga mengecam tindakan pihak terbabit yang jelas mengambil jalan pintas melupuskan sisa kimia secara haram.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang sabit kesalahan boleh dipenjara mandatori dan didenda maksimum RM10 juta,” katanya.- MalaysiaGazette