ALOR GAJAH – Polis menahan seorang pengasuh wanita berusia 34 tahun selepas disyaki membunuh seorang bayi lelaki, 8 bulan di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Taman Kelemak Jaya Utama, di sini pagi tadi.
Suspek yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di taska berkenaan kira-kira 3.30 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah suspek berasal dari Endau, Johor akan direman di Mahkamah Ayer Keroh pagi esok.
“Permohonan reman dibuat bagi membantu siasatan berhubung kematian bayi di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) keranan membunuh,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan bapa bayi berkenaan, Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39, mendakwa pengasuh berkenaan dilihat membedung, menyumbat botol susu menutup dengan kain dan menekup muka anaknya dengan bantal dalam kejadian menyayat hati itu.
ARTIKEL BERKAITAN
- Bayi 8 bulan maut: Pengasuh bedung anak, sumbat botol susu, tekup dengan bantal, dakwa bapa
- MGNews: Bayi Baru 5 Hari Di Taska Maut Selepas Disumbat Susu, Ditekup Dengan Bantal
Perbuatan itu dilihat menerusi sistem kamera litar tertutup (CCTV) taska selepas pengasuh berkenaan meminta isterinya datang untuk mengambil bayi sulungnya itu kira-kira pukul 0 pagi tadi.
Menurutnya, sebaik isterinya Sabrina Hakiem Zaini, 39, tiba, anaknya yang baru dihantar ke Taska berkenaan sejak lima hari lalu dalam keadaan terkulai, mulut berdarah dan muka kebiru-biruan. – MalaysiaGazette.