Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay menyerahkan anugerah kepada penerima anugerah pelajar cemerlang pada Perbarisan Tamat Latihan Inspektor Suksis Universiti Awam Malaysia ke 20 Tahun 2024 di Dataran Gemilang, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Foto SADIQ SANI, 7 SEPTEMBER 2024

BANGI – Polis sedang menyiasat syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) kerana dakwaan mengeksploitasi kanak-kanak.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ia berikutan empat laporan polis telah dibuat terhadap organisasi itu di Selangor.

“Ia berhubung dakwaan eksploitasi kanak-kanak. Kita sedang menyiasat perkara itu di bawah Seksyen 32(a) Akta Kanak-Kanak 2001″ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Graduasi Kor Sukarelawan Polis Pelajar (Suksis) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, dakwaan terhadap pertubuhan itu termasuklah mereka menggunakan kanak-kanak untuk mengutip derma dan menggaji kakitangan tanpa faedah yang sewajarnya.

“Terdapat juga laporan pengikut atau kakitangannya dianiaya atas kesalahan kecil. Ahli atau pengikutnya terdiri daripada semua lapisan masyarakat termasuk golongan profesional,” ujarnya.

Sementara itu, Ayob Khan memaklumkan, Jabatan Cawangan Khas mempunyai senarai 114 lagi organisasi yang disyaki terlibat dengan ajaran sesat.

“14 organisasi aktif dan lapan berada di bawah pengawasan,” ujarnya.

Dalam pada itu. polis telah menerima sejumlah 80 laporan polis mengenai ajaran sesat sejak 2022, katanya.

“Seramai 122 individu ditahan susulan laporan yang dibuat. Kami bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa agama negeri untuk membendung ajaran sesat di negara ini terutamanya kerana ia mungkin membawa kepada ekstremisme dan militan,” katanya. – MalaysiaGazette