KLUANG – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap tidak berlaku sabotaj atau sebarang masalah selepas calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota diumumkan hari ini.
Presiden UMNO itu mahu semuanya berjalan lancar dengan semua jentera parti bergerak dengan baik seperti yang ditunjukkan dalam PRK DUN Nenggiri bulan lalu.
“Semua jentera mesti gerak dengan baik, jentera MCA mesti gerak cukup kuat, ‘assignment’ (beri tugas) kepada MIC untuk santuni masyarakat India.
“Kita mahu dari 7 sampai 14 September ini (sebelum hari penamaan calon), ada tujuh hari, siapa pun jadi calon, ambil masa tujuh hari ini untuk pemujukan jentera dan penyokong.
“Tak lupa rakan-rakan Parti Amanah Negara (Amanah), DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), ini pertama kali kita kombinasikan dalam satu pasukan, pasukan DUN Kerajaan Perpaduan untuk DUN Mahkota,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Jentera dan Pengenalan Calon Barisan Nasional Pilihan Raya Kecil N.29 Mahkota di Command Center BN N29 Mahkota di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah PRK DUN Mahkota, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor dan Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah diumumkan sebagai calon BN bagi PRK DUN Mahkota hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kombinasi serta solidaroti yang baik ditunjukkan BN dan PH itu akan menjadi formula dalam berdepan PRN di Melaka dan Johor serta Pilihan Raya Umum ke-16 nanti.
Katanya, seramai 17 dikemukakan kepadanya dan mengkaji senarai calon berkenaan yang mempunyai ciri ‘Wali’.
‘Wali’ itu merujuk kepada boleh memenangi (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likeable) yang berkaliber dan berdaya.- MalaysiaGazette