Shahir Adnan
Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok wajar didakwa susulan kenyataannya yang terkait dengan isu 3R (agama, kaum, raja).

Pengerusi Hak Konsumer Sejahtera (HAKS), Shahir Adnan berkata, Teresa didakwa bersikap biadab apabila meminta kerajaan mengkaji semula penguatkuasaan pensijilan halal dalam industri makanan.

Katanya, permintaan itu telah melangkaui batas kerana menyentuh isu umat Islam.

“Mengikut tafsiran Teresa, makanan yang haram adalah berkaitan babi dan alkohol. Satu tafsiran dangkal mengenai agama Islam.

“Untuk pengetahuan Teresa, di Malaysia, makanan halal ditakrifkan oleh garis panduan ketat yang digariskan dalam Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Istilah “Halal”) 1975,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahir turut menyenaraikan senarai layak halal terhadap makanan yang mesti memenuhi kriteria dengan yang pertamanya sekiranya haiwan, ia tidak boleh datang daripada atau mengandungi mana-mana bahagian haiwan yang dilarang oleh syarak termasuk yang tidak disembelih mengikut garis panduan Islam.

“Kedua, bahan tulen iaitu makanan halal tidak boleh mengandungi sebarang kekotoran mengikut hukum syarak.

“Ketiga, perkakas dan peralatan yang mana tidak boleh disediakan, diproses atau dikendalikan dengan peralatan serta peralatan yang dianggap najis mengikut piawaian Islam.

“…dan yang keempat iaitu pengasingan makanan halal tidak boleh bersentuhan dengan makanan bukan Halal atau bahan najis semasa penyediaan, pemprosesan atau penyimpanan,” ujarnya.

Justeru Shahir berkata, isu halal bukan sahaja berkaitan makanan yang dikaitkan dengan babi dan alkohol sahaja sebaliknya membabitkan beberapa lagi perkara lain yang perlu dititikberatkan.

“Kami menggesa Teresa menarik balik kenyataan demi menjamin kesejahteraan masyarakat majmuk di negara kita,” katanya.

Semalam sebuah portal melaporkan, Teresa dipetik sebagai berkata, pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran bukan dilaksanakan secara paksa.

Ahli Parlimen Seputeh itu berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.

Menurutnya pengenalan pensijilan halal secara wajib akan menambah kos pentadbiran.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal. – MalaysiaGazette