Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok hari ini digesa supaya menarik balik kenyataan sensitifnya berhubung pensijilan halal.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata, Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh tidak sepatutnya “cepat melatah” membantah cadangan tersebut memandangkan idea mewajibkan pensijilan halal itu masih di peringkat cadangan.

Menurut beliau, penyokong kerajaan seharusnya menggunakan saluran lain yang lebih sesuai untuk menyatakan pandangan kerana menggunakan saluran media berkaitan isu sensitif melibatkan perkara dasar dan hukum Islam tidak disentuh secara umum.

“Laporan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang mempertimbangkan cadangan mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol adalah satu cadangan yang positif.

“Langkah ini, jika dilaksanakan, sama sekali tidak akan bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya mahupun mengganggu hak beragama sesiapa, kerana konsep halal yang bersifat universal.

“Pensijilan halal ke atas produk makanan kini diamalkan di seluruh dunia termasuk negara-negara yang umat Islam minoriti,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Faiz berkata, jika sekalipun cadangan itu dilaksanakan ia akan melibatkan kos kepada peniaga dan kerajaan atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) masih boleh menawarkan inisiatif khusus untuk pensijilan halal ini bagi meringankan poket peniaga.

Tambah beliau, pelaksanaan sijil halal itu penting bagi meningkatkan kualiti produk yang dijual terutama makanan dan penarafannya akan mengesahkan sesuatu produk itu baik dan bersih.

Katanya lagi, mana-mana proses penarafan sesuatu sijil oleh pihak berkuasa adalah bagi menjaga kualiti sesuatu produk bersesuaian dengan kehendak dan piawaian yang ditetapkan seperti ISO, MyGAP dan GMP di mana proses penarafan itu memang melibatkan kos.

“Oleh itu, cadangan pensijilan halal ini tidak perlu dikaitkan dengan faktor kewangan, tetapi perlu dilihat dari faktor peningkatan kualiti produk,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama Faiz menjelaskan, cadangan pensijilan halal itu jika dilaksanakan akan mengangkat industri makanan negara ke tahap lebih tinggi di dalam negara dan di peringkat antarabangsa.

Katanya, jika tidak, mana mungkin industri halal Malaysia diceburi secara aktif oleh para usahawan bumiputera dan bukan bumiputera.

Tambahnya, setakat Julai 2024, 57.6 peratus daripada 9,146 syarikat yang mempunyai sijil halal JAKIM adalah syarikat milik bukan Bumiputera.

Malah katanya, hanya 6.1 peratus nilai eksport halal pada tahun 2023 disumbangkan oleh produk keluaran Bumiputera.

“Peluasan pensijilan halal di Malaysia akan mengembangkan peluang komersial bagi semua pemain, tanpa mengira kaum dan agama. Menjelang 2030, industri halal tempatan dijangka mencecah nilai AS$113.2 bilion, berbanding hanya AS$68.4 bilion pada tahun 2018.

“Daripada aspek sumbangan kepada ekonomi pula, industri halal dijangka bernilai 11 peratus daripada KDNK negara tahun 2023 berbanding 7.4 peratus pada 2018.

“Potensi pertumbuhan yang kukuh ini membuka peluang kepada semua pemain, bumiputera mahupun bukan bumiputera, untuk menjana pendapatan yang lebih lumayan,” kata Faiz. – MalaysiaGazette