Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

KUALA LUMPUR – Polis tidak menemui sebarang bukti yang dapat mengaitkan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim dan suaminya dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, siasatan lanjut mendapati pelaburan yang dibuat Mashitah tidak mempunyai sebarang kaitan dengan sindiket itu.

“Berdasarkan analisis beberapa akaun bank individu mendapati wang dalam akaun itu adalah wang simpanan.

“Sebelum ini, kami ada mengesahkan keberadaan ahli politik itu beserta suaminya dan tiga orang lagi individu di Myanmar untuk urusan pelaburan hartanah namun kami dapati tiada sebarang pelaburan dibuat.

“Setakat ini seramai 11 individu telah diambil keterangan mengenai kes itu,” katanya.

Razarudin berkata, siasatan kini cenderung kepada peranan seorang individu bergelar ‘Datuk Seri’ yang disyaki menjadi dalang mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan daripada pelaburan di Myanmar.

“Siasatan ini juga bagi mengenal pasti perhubungan antara beberapa individu serta dua ahli perniagaan rakyat China,” tambahnya.

Sebelum ini media melaporkan polis sedang menjalankan analisis terhadap kedudukan kewangan beberapa syarikat untuk membantu siasatan berhubung kes pemerdagangan manusia di Myanmar yang didakwa melibatkan Mashitah.

Ia susulan tular satu video mengenai sindiket itu di YouTube negara jiran yang turut menjadi mangsa pemerdagangan manusia. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast