Afnan Hamimi Taib Azmudden (kiri) dan Nurul Amin Hamid.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mempertikaikan pendirian kerajaan perpaduan yang belum mengambil tindakan terhadap Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok yang didakwa menyentuh isu 3R (Raja, agama, bangsa).

Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, sekiranya perkara itu berlaku kepada pemimpin pembangkang, maka tindakan tegas akan terus diambil oleh pihak berkuasa.

“Bayangkan kalau yang cakap tentang 3R ni pemimpin pembangkang.

“Pagi bercakap, tengah hari dah kena tangkap!,” soal beliau di Facebook rasminya, hari ini.

Afnan Hamimi berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan kata-kata Teresa adalah bersifat peribadi dan tidak mewakili kerajaan perpaduan.

Dalam pada itu, Afnan Hamimi berkata, kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang mempertahankan Teresa juga disifatkan sekolah-olah DAP bersikap sebagai ‘abang besar’ dalam Pakatan Harapan (PH).

“PMX kata kenyataan Nyonya DAP adalah bersifat peribadi. Setiausaha Agung DAP Anthony Loke pula pertahankan kenyataan Nyonya DAP. Kononnya ia mewakili kebimbangan masyarakat bukan Islam.

“Nampaknya, Abang Besar begitu berani sanggah bossnya sendiri dalam Kabinet. Begitulah besarnya kuasa DAP sebagai Abang Besar dalam kerajaan hari ini. Biadap! DAP terang-terang masuk campur urusan orang Islam. Tapi itu masih dianggap pandangan peribadi,” katanya.

Pada majlis Perasmian Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) lestari yang pertama di lebuh raya Malaysia di R&R Seremban (Arah Selatan), hari ini berkata, Teresa tidak sepatutnya membuat kenyataan berhubung isu sijil halal yang melibatkan umat Islam.

“Kita kena jaga sentimen orang Islam dan bukan Islam. Cara dia (Teresa Kok) runding secara elok dahulu bukan tunjuk kehebatan masing-masing,” ujarnya

Semalam, Teresa berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Teresa berkata, langkah itu bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast