Leong Yu Man menyerahkan 'mangkuk tingkat' kepada peserta Royal Pahang Billfish International Challenge (RPBIC) 2024 sebagai bekal makanan makan tengahari sepanjang acara berlangsung di laut

ROMPIN– Seramai 78 orang peserta tempatan dan antarabangsa menyertai Royal Pahang Billfish International Challenge (RPBIC) 2024 yang berlangsung selama tiga hari di Kuala Rompin sejak Jumaat lalu.

Exco Perpaduan, Pelancongan, dan Kebudayaan Pahang Leong Yu Man berkata, selain Malaysia peserta dari India, China, Jepun, United Kingdom, Singapura, dan Australia menyertai acara yang yang melabuhkan tirai pada hari ini.

Tambah Yu Man, peningkatan peserta pada tahun ini berbanding hanya 13 peserta tahun lalu menunjukkan sambutan menggalakkan bagi penganjuran edisi ke-20 itu.

Antara aksi peserta Royal Pahang Billfish International Challenge (RPBIC) 2024 yang berlangsung selama tiga hari di Kuala Rompin bermula Jumaat lalu

”Acara yang diadakan sejak 2004 ini turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia, Lembaga Pembangunan Tioman (TDA), dan Tourism Malaysia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelasnya RPBIC terkenal terutamanya ikan layaran dan marlin yang ditangkap dan dilepaskan semula mengikut garis panduan pertandingan.

Katanya, pasukan yang memenangi acara tersebut akan mendapat penghormatan dan layak bertanding dalam Offshore World Championship (OWC) di Costa Rica.

Sementara itu, Yu Man berkata, kemenangan Anugerah Best Destination 2024 yang diterima oleh Tourism Pahang pada Julai lalu menambah lagi kepentingan penganjuran RPBIC.

Menurutnya ia bukan sahaja mengesahkan kedudukan Pahang sebagai destinasi utama untuk ekopelancongan dan pelancongan pengembaraan, tetapi juga meningkatkan profil global RPBIC.

”Acara ini menjadi pintu masuk bagi peserta dan pelawat untuk menerokai tarikan lain di Pahang, seperti hutan hujan Taman Negara yang subur, Pantai Cherating yang tenang, dan tanah tinggi Cameron Highlands yang sejuk.

”Upacara penutup dan majlis penyampaian hadiah kepada peserta RPBIC akan disempunakan oleh Menteri Besar Pahang pada hari Ahad di Villea Resort di Rompin,” katanya.

Penganjuran RPBIC merupakan salah satu usaha jitu antara Tourism Pahang dan Lembaga Pembangunan Tioman dalam mempromosikan produk pelancongan di negeri Pahang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast