KUALA LUMPUR – Fiesta Belia Merdeka 2024 yang diadakan di Dataran Merdeka, dapat memupuk sifat patriotisme serta kesedaran sosial dalam kalangan belia.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berkata, program yang diadakan sempena Bulan Kemerdekaan itu, bertujuan memberi peluang kepada golongan-golongan belia.
“Antaranya memberi peluang kepada mereka untuk mengetahui tentang peluang kerjaya yang ada.
“Sebagai kerajaan, kita nak beritahu mereka iaitu golongan belia, merupakan golongan yang sangat penting pada negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program itu, di sini, hari ini.
Tambahnya, kepelbagaian kaum di Malaysia boleh menjadi contoh kepada para belia betapa utuhnya perpaduan di Malaysia.
Menurut Azman, pihaknya sedang mempertimbangkan cadangan untuk menjadikan program seperti ini sebagai acara tahunan.
“Majlis Belia Wilayah Persekutuan akan bersama-sama dengan semua agensi, untuk menjayakan program ini.
“Kali ini kita cuba untuk mengadakannya di Putrajaya pada tahun hadapan dengan menyasarkan seramai 100,000 belia,” katanya.
Program Fiesta Belia Merdeka yang dianjurkan oleh KL Care turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan NGO belia seperti International Youth Centre (IYC), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP).
Acara utama yang berlangsung termasuk Fitness Dance Marathon, Karnival Kerjaya oleh PERKESO, Bike Show, Forum Belia Berisiko, Pertandingan Filem Pendek, Hari Rock Negara dan Sambutan 50 Tahun Hubungan Diplomatik Malaysia-China. MalaysiaGazette