N. Balasubramaniam ketika berucap pada pada Konvensyen DHPP kesembilan yang diadakan sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-70 di Jerantut, Pahang, hari ini.

KUALA LUMPUR – Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) berharap konvensyen kesembilan dewan itu yang berlangsung hari ini merupakan yang terakhir diadakan dengan status sebagai lajnah (biro).

Ketuanya, N. Balasubramaniam berkata, pihaknya berharap DHPP selepas ini akan dinaik taraf dan diangkat menjadi sayap dalam Pas sama seperti sayap Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat parti itu.

Ujar beliau, selepas dua dekad ditubuhkan dengan keahlian yang kini mencecah lebih 70,000 orang, sudah tiba masanya peranan DHPP diangkat setaraf dan setanding sayap-sayap utama parti Pas yang lain.

“Sebagai sayap rasmi Pas, sekiranya pindaan Perlembagaan Pas diluluskan, maka kemungkinan ini konvensyen kita yang terakhir sebelum DHPP menjadi sayap yang benar-benar berperanan sebagai sayap baharu yang tertera dalam Perlembagaan Pas.

“Ini adalah tanda kesungguhan dan keseriusan Pas meletakkan peranan kita dalam mendekati dan menarik sokongan masyarakat bukan Melayu.

“Amat malang jika kita dalam DHPP tidak menyambut hasrat ini dengan bersunguh-sungguh,” katanya.

Beliau berucap pada Konvensyen DHPP kesembilan yang diadakan sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-70 di Jerantut, Pahang, hari ini.

Dalam pada itu, Balasubramaniam mengingatkan ahli dan perwakilan DHPP supaya terus meningkatkan usaha menarik sokongan orang bukan Melayu terhadap Pas selari dengan hasrat menaik taraf DHPP tersebut.

“Tiada erti Pas berusaha menaik taraf kedudukan kita, tetapi kita tidak mampu membuktikan peranan kita seperti mana yang diharapkan oleh Pas,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menyifatkan DHPP ketika ini mempunyai kelebihan untuk menarik sokongan bukan Melayu terhadap Pas berikutan sokongan masyarakat berkenaan kepada Pakatan Harapan (PH) secara umumnya dilihat semakin merosot.

Beliau mengambil contoh bagaimana pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap yang mana pengundi Cina tidak lagi memberi kepercayaan besar kepada PH khususnya DAP.

“Kewujudan perpaduan antara PH dan Barisan Nasional (BN) di peringkat awal juga telah menimbulkan kesangsian, ditambah dengan  polisi Kerajaan Perpaduan yang tidak mesra rakyat dan tidak memberi nilai positif kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette