KUALA LUMPUR – Seramai 413 warga asing dan empat majikan tempatan dalam operasi serentak di lima daerah Johor, kelmarin.
Operasi ini melibatkan Ops Mahir, Ops Kutip, Ops Sapu dan Ops Gegar dijalankan di Johor Bahru, Segamat, Batu Pahat, Mersing dan Muar dengan tumpuan di tapak pembinaan, kilang-kilang dan syarikat di kawasan menggaji pekerja asing tanpa pas sah.
Pengarah Jabatan Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi di Johor Bahru melibatkan serbuan di lokasi Berjaya menahan 305 warga asing dan dua majikan iaitu 223 warga Bangladesh, Indonesia (51), Myanmar, Pakistan (11), Sri Lanka (4). Kesemua mereka berusia antara 18 hingga 57 tahun.
Manakala empat serbuan dilakukan kawasan hotspot dan berjaya menahan 20 warga asing.
Tangkapan ini melibatkan 16 lelaki Myanmar, Bangladesh (4) dan dua majikan warga tempatan.
Di Mersing pula, serbuan dilakukan di tapak pembinaan dengan enam tangkapan warga Indonesia.
Dua lagi serbuan di kawasan perindustrian Segamat, menahan 28 warga asing termasuk 12 warga Bangladesh, Myanmar (6), Nepal (9) dan Indonesia (1).
Operasi serbuan di Muar melibatkan tujuh premis dan menahan 50 arga asing termasuk 34 warga Bangladesh, Nepal (12), Thailand (2) dan Laos (1).
Mohd Rusdi berkata, kesemua tahanan dipercayai melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) iaitu tidak memiliki sebarang pas atau permit sah untuk berada di Malaysia, Seksyen 15(1)(c) tinggal lebih masa.
Selain itu melanggar Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 salah guna Pas Lawatan Sosial (PLS), Peraturan 17(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana tidak mematuhi apa-apa arahan yang diendorskan atas pas dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.
Manakala semua majikan tempatan ditahan di bawah Seksyen 56(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana melindungi pendatang asing tanpa izin.
Mohd Rusdi berkata, semua tahanan ditempatkan Depoh Imigresen Pekan Nenas untuk siasatan lanjut dan sebanyak 15 notis hadir ke pejabat juga telah dikeluarkan.
Tambahnya, Jabatan Imigresen Johor secara aktif melaksanakan operasi-operasi bagi mengatasi masalah kebanjiran PATI di negeri itu.
“Operasi berterusan ini bagi mewujudkan satu ekosistem tidak selesa kepada PATI dan imigresen juga tidak akan berkompromi dan mengambil Tindakan tegas terhadp majikan, pemilik premis serta individu yang membenarkan imigran haram tinggal di mana-mana premis serta melindungi PATI,” katanya. – MalaysiaGazette