Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis perasmian kawasan Rehat dan Rawat Seremban (Arah Selatan) PLUS ketika di Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 08 SEPTEMBER 2024.

SEREMBAN – Tidak mustahil kerajaan boleh menurunkan kadar tol sekiranya kos pembangunan lebuh raya dapat dikawal selain tidak berlakunya ketirisan dan rasuah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, apabila berlaku kebocoran, kos akan meningkatkan menyebabkan kadar tol akan dinaikkan.

“Kalau kos dikawal dan tidak ada ketirisan dan rasuah, ada kemungkinan kita boleh turunkan kadar tol.

“Ini mesti dihentikan. Saya percaya Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk projek yang seterusnya, pastikan kelulusan disegerakan. Ini boleh berlaku kalau semua bertanggungjawab dan merasakan ini (projek lebuh raya) projek rakyat,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) lestari yang pertama di lebuh raya Malaysia di R&R Seremban (Arah Selatan), di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kerja Raya Datuk Seri  Alexander Nanta Linggi dan timbalannya Datuk Seri Ahmad Maslan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Pengerusi LLM, Datuk Seri Hasni Mohammad.

Sebelum ini, Anwar berkata, perjanjian konsesi tol di Kuala Lumpur boleh dirundingkan semula apabila kewangan negara semakin kukuh.

Katanya, beliau setuju dengan pandangan seorang hadirin yang menyuarakan isu terlalu banyak tol di ibu negara. – MalaysiaGazette