SEREMBAN – Kerajaan akan berunding dengan syarikat-syarikat konsesi lebuh raya sekiranya mereka telah mencapai pulangan daripada pelaburan yang dilakukannya
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tindakan itu dilakukan bagi mengurangkan kadar tol seperti mana yang dizahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
“Ini harapan kerajaan sebab tol dikutip selagi ada perjanjian dan syarikat konsesi tol mereka mendapat pinjaman daripda bank untuk membangunkan sesebuah jalan raya, ini semestinya dibayar balik menerusi tol.
“Jadi selepas syarikat lebuh raya ini mencapai ROI (pulangan pelaburan) mungkin pada masa itu boleh dirunding dengan mereka supaya tol dikurangkan.
“Kalau dimansuhkan mungkin ia akan memberikan masalah lain seperti mana kita tidak dapat mengutip kewangan untuk belanja penyelengaraan, kita takut standard penyelengaraan lebuh raya kita menurun sebab terlalu bergantung kepada bajet kerajaan,” katanya pada sidang media selepas majlis Perasmian Kawsan Rehat dan Rawat (R&R) lestari yang pertama di Lebuhraya Malaysia di R&R Seremban (Arah Selatan), di sini, hari ini.
Alexander berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan adalah tidak mustahil untuk kerajaan menurunkan kadar tol sekiranya kos pembangunan lebuh raya dapat dikawal selain tidak berlakunya ketirisan dan rasuah.
Mengulas lanjut, Alexander berkata, cadangan supaya syarikat konsesi lebuh raya mengurangkan kadar tol akan dikemukakan kerajaan setelah tempoh konsesi syarikat terbabit tamat.
“Kita akan beri pandangan apabila tiba masanya tapi sekarang mungkin (kekal) begini supaya tidak membebankan kerajaan terlalu banyak untuk menanggung 100 peratus kos penyelengaraan lebuh raya.
“Kita bantu pengguna lebuh raya selepas syarikat konsesi ini mencapai ROI mereka, mungkin di situ ada ruang untuk mereka menurunkan kadar tol,” kataya.
Sementara itu, Alexander menggesa syarikat konsesi lebuh raya menambah baik mutu perkhidmatan serta kemudahan yang disediakan di lebuh raya.
Jelas beliau, langkah itu bagi menyediakan persekitaran R&R yang kondusif dan selesa untuk dinikmati semua pengguna lebuh raya.
“KKR dan LLM berharap kita dapat bincang dengan syarikat konsesi lebuh raya yang lain supaya mana yang berminat untuk buat yang sama.
“Pihak konsesi yang akan serap kos ini kerana itu kita serahkan kepada mereka, sebab ini adalah merupakan model perniagaan mereka,” katanyai.
R&R Seremban (Arah Selatan) yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dibangunkan semula oleh PLUS bagi memenuhi keperluan pengguna yang semakin meningkat, dengan mengambil kira pembangunan infrastruktur yang lestari.
Dengan rekabentuk yang baharu, R&R ini memperolehi pensijilan Green Building Index (GBI) Gold Rating dan juga telah dibina semula dengan menggunakan bahan-bahan binaan lestari.
R&R Seremban (Arah Selatan) adalah R&R pertama yang dilengkapi dengan teknologi hijau seperti panel solar, stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV), sistem penuaian air hujan, mesin pengomposan sisa, tong kitar semula fabrik dan 3R, serta bekas pembungkusan biodegradasi.
Malah, stesen hab pengecasan EV yang pertama di Malaysia (EV Charging Hub) akan dibina di R&R ini tidak lama lagi, hasil kerjasama PLUS dan ChargeEV. – MalaysiaGazette