SEREMBAN – Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok tidak seharusnya membuat kenyataan berhubung isu sijil halal yang melibatkan umat Islam, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, kenyataan Ahli Parlimen Seputeh itu tidak membantu kerajaan menjernihkan keadaan.
“Kita kena jaga sentimen orang Islam dan bukan Islam. Cara dia (Teresa Kok) runding secara elok dahulu bukan tunjuk kehebatan masing-masing.
“Negara kita sudah dalam keadaan baik sekarang, politik sudah stabil penghargaan dunia baik, ekonomi naik perlu apa perkara-perkara ini nak merosakkan,” katanya ketika berucap pada majlis Perasmian Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban Arah Selatan, hari ini.
Hadir sama adalah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Menteti Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Hasni Mohamad.
Anwar menjawab pertanyaan media berhubung kenyataan bekas Menteri Pakatan Harapan (PH) bahawa cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.
Teresa berkata, langkah itu bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.
Menurut Anwar, pandangan Teresa itu tidak mewakili kerajaan dan hanya pandangan peribadi beliau.
Mengulas lanjut, beliau menambah, Teresa sepatutnya membawa pandangan itu dalam apa-apa mesyuarat.
“Walaupun ada cadangan ada kebimbangan bawa dalaman mesyuarat PH dan kita akan teliti, tidak payah buat begini.
“Ini menimbulkan kontroversi yang tidak relevan dan pada masyarakat kita ada masalah peraturan itu perlu supaya umat Islam tidak rasa was-was.
“Tapi kalau dia (Teresa) rasakan peraturan itu tidak diperlukan di kawasan tertentu. Bincang secara elok,” katanya. – MalaysiaGazette