Foto: KPDN Perlis

KANGAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis menahan seorang lelaki serta merampas 81 liter minyak petrol bersubsidi bernilai RM5,666.05 yang dipercayai diseleweng dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Padang Besar pada Jumaat.

Pengarah KPDN Perlis, Hasbullah Abd Rashid berkata, lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an itu ditahan anggota penguat kuasa semasa dia sedang mengisi minyak kereta di stesen berkenaan pada 9.27 malam.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati kereta lelaki itu mempunyai dua unit tangki tambahan yang diubah suai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dua unit tangki tambahan itu berada pada bahagian tempat duduk belakang dan bonet belakang (ruang simpan barang) kereta berkenaan.

Beliau berkata kereta bernombor pendaftaran Malaysia itu disita dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 (Akta 122). – Bernama