Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

SHANGHAI – Pelanjutan tempoh pengecualian visa pelancong untuk rakyat Malaysia ke China daripada 15 kepada 30 hari, antara perkara yang akan dibincangkan dalam lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke negara itu, bermula hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, mereka juga akan membincangkan mengenai pelanjutan tempoh pengecualian itu daripada berakhir Disember 2025 kepada akhir 2026.

Beliau berkata, perkara itu dijangka dibangkitkan dalam pertemuan Ahmad Zahid bersama Penasihat Negara merangkap Menteri Keselamatan Awam China Wang Xiaohong, pada sesi tertutup Forum Kerjasama Keselamatan Awam Global Lianyungang (GPSCFL), di sini, esok.

“Pendirian kita (Malaysia) dengan memberi visa percuma kepada rakyat China atas alasan untuk menggalakkan industri pelancongan, iaitu 30 hari…Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bincangkan sebelum ini agar China saling bertukar, kerana sekarang China beri kita (pelancong Malaysia) hanya 15 hari (tanpa visa).

“Dalam perbincangan tertutup esok, kita akan bawa semula perkara itu. Di peringkat perbincangan pegawai, China sudah menunjukan reaksi positif namun belum menjadi ketetapan. Positifnya kerana sedia untuk berbincang,” katanya pada sesi bersama media Malaysia di sini, hari ini. – Bernama