Nurul Izzah Anwar

KUALA LUMPUR – Pengerusi Social and Economic Research Initiative (SERI), Nurul Izzah Anwar akan menggunakan pentas ‘Hari Antarabangsa Untuk Melindungi Pendidikan Daripada Serangan Kelima’ untuk memberi pandangan bagaimana kreativiti termasuk para pempengaruh seluruh dunia mampu merapatkan jurang untuk advokasi, khusus bagi pembebasan Palestin.

Malah, Nurul Izzah yang juga Penasihat Malaysian Humanitarian Aid And Relief (Mahar) akan menjadikan usaha yang dilakukan pempengaruh terkenal tanah air iaitu ‘Khairul Aming’ dan ‘Sofyank96’ dalam menyebarkan maklumat mengenai genosid di Palestin sebagai contoh.

Terdahulu, Nurul Izzah memaklumkan beliau telah menerima undangan dari Yayasan Education Above All bagi menghadiri forum kendalian di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu yang akan berlangsung selama tiga hari di Doha, bermula esok.

SURAT jemputan yang diterima Nurul Izzah Anwar untuk menghadiri ‘Hari Antarabangsa Untuk Melindungi Pendidikan Daripada Serangan Kelima’. – Foto: FB Nurul Izzah

“Insya-Allah, saya akan turut serta selama 3 hari dan memberi pandangan bagaimana kreativiti, termasuk para pempengaruh seluruh dunia, mampu merapatkan jurang untuk advokasi, khusus untuk pembebasan Palestin – seperti usaha kreatif yang dilakukan oleh Khairul Aming dan Sofyank96,” katanya menerusi catatan di laman sosial beliau hari ini.

Menurut Nurul Izzah, program itu dianjurkan dengan kerjasama UNESCO, UNICEF, OHCHR dan Pejabat SRSG untuk Kanak-kanak dan Konflik Bersenjata.

“Ia akan memberi penekanan kepada aspek “The Human Cost of War” dan tumpuan kepada kesan perang yang memusnahkan peluang pendidikan kepada kanak-kanak, termasuk seluruh generasi yang terpaksa dipindahkan akibat konflik yang berpanjangan dan meluas,” katanya. – MalaysiaGazette