Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika berucap merasmikan Konvensyen DHPP Kesembilan sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-70 di Jerantut, Pahang, hari ini.

KUALA LUMPUR – Pas meletakkan sasaran wakil daripada Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) mampu memenangi kerusi pada pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kemenangan itu bagi memastikan wakil DHPP kelak dapat berada dalam barisan kepimpinan sama ada di peringkat negeri atau Pusat.

Apatah lagi, ujar beliau, Pas ketika ini sedang memberi tumpuan untuk merampas negeri Pahang, Perak dan Selangor, sekali gus memerlukan sokongan wakil daripada DHPP.

“Tadi, saya bisik kepada Bala (Ketua DHPP, N. Balasubramaniam), saya katakan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16), ada wakil daripada DHPP berada dalam kerajaan.

“Pahang, Perak dan Selangor, tiga negeri ini akan jadi tumpuan kita pada PRU-16, dan saya (Pas) sangat berharap DHPP ada wakil di tiga negeri ini nanti.

“Baru-baru ini, Bala dilantik sebagai Senator, tapi nanti kita mahu dia menang bergaya (bukan secara lantikan),” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen DHPP Kesembilan sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-70 di Jerantut, Pahang, hari ini.

Dalam pada itu, tambah Tuan Ibrahim, Pas turut berterima kasih kepada DHPP yang disifatkan turut memainkan peranan besar sehingga membolehkan parti tersebut menjadi parti tunggal terbesar di Dewan Rakyat dengan 43 kerusi Parlimen ketika ini.

Ujar beliau, kejayaan itu tidak mungkin dicapai tanpa bantuan dan penyertaan DHPP yang sekali gus menolak tanggapan kononnya Pas merupakan sebuah parti ekstrem dan pelampau agama.

“Hakikatnya, Pas tolak sebarang elemen ekstrem dan pelampau sama ada oleh individu, badan-badan atau orgaisasi.

“Kita tegaskan golongan pelampau tidak ada (ruang) dalam Pas, mereka boleh keluar dari Pas kalau mahu dokong perjuangan ekstrem,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa DHPP mengambil peluang daripada gelombang peningkatan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum lalu untuk menarik sebanyak mungkin sokongan bukan Melayu terhadap Pas serta gabungan parti politik tersebut.

Ujar beliau, gelombang itu bukan hanya melibatkan blok Melayu atau di negeri-negeri yang majoritinya orang Melayu, sebaliknya meliputi semua masyarakat tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang.

“Kalau kita jujur, ikhlas dalam perjuangan dan bela nasib rakyat tanpa kira kaum, tidak mustahil rakyat berbondong-bondong sokong PN.

“Yang penting rakyat nak tengok bagaimana kita bekerja dengan ikhlas dan bagaimana kita dapat membela nasib mereka,” katanya. – MalaysiaGazette