ROMPIN – Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya terbabit dalam nahas kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 11 Jalan Kuantan- Segamat, semalam.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Nor Azman Yusof berkata, mangsa berusia 38 tahun menaiki kenderaan jenis Proton Saga meninggal dunia di lokasi nahas.
Menurut Nor Azman, pihaknya menerima makluman berkenaan kemalangan terbabit pada jam 10.40 malam tadi berkata.
Katanya, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari arah Segamat menuju ke Muadzam Shah.
“Kereta Proton Saga dipandu mangsa secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan dan bertembung lori jenis Nissan yang membawa muatan ayam hidup sehingga menyebabkan kenderaan itu terbalik di tengah jalan.
“Pada masa sama, sebuah treler jenis Volvo membawa muatan pasir yang berada di belakang lori tidak sempat mengelak dan melanggar kenderaan terbabiit.
”Bagaimana pun pemandu lori dan treler masing- masing berusia 60 serta 39 tahun hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk dibedah siasat.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette