Ahmad Zahid dan Syed Hussien (tengah) dalam Majlis Pelancaran Jentera dan Pengenalan Calon Barisan Nasional Pilihan Raya Kecil N.29 Mahkota di Command Center BN N29 Mahkota, Kluang, hari ini.

KUALA LUMPUR – Keputusan meletakkan sekali lagi calon muda pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota menunjukkan kesungguhan Barisan Nasional (BN) dan UMNO untuk berubah dan menarik kembali sokongan rakyat.

Pemerhati politik, Prof. Madya Dr. Mohamad Faisol Keling berkata, UMNO juga mengambil kelebihan daripada kemenangan besar pada PRK Nenggiri lalu ketika parti itu turut meletakkan calon muda.

Ujar Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan Dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, pemilihan calon muda itu sepatutnya sudah lama menjadi amalan dalam mana-mana parti politik melihat kepada perubahan amalan dan penerimaan politik semasa dalam kalangan rakyat.

Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan Dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohamad Faisol Keling.

“Pastinya, model pada PRK Nenggiri akan menjadi asas buat BN pada pilihan raya selepas ini.

“Realitinya, model ini telah lama dituntut semenjak zaman era Tun Abdullah Ahmad Badawi kerana dominasi calon lebih tertumpu dan berlegar antara Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian, Naib Ketua Bahagian, Timbalan Setiausaha dan Ketua Wanita,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Semalam, UMNO mengumumkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah sebagai calon BN pada PRK Mahkota yang akan diadakan pada 28 September ini.

Sementara itu, Faisol berkata, pemilihan calon muda adalah langkah tepat dalam usaha meremajakan parti terutama selepas BN dan UMNO mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan PRU-15.

Ujar beliau, BN tidak mempunyai jalan keluar melainkan memberikan kepercayaan kepada golongan muda kerana sesuai dengan perubahan pengundi, dengan amalan mencalonkan Ketua-ketua Bahagian yang sudah lama dalam parti dilihat bukan lagi sesuai dalam trend politik masa kini.

Dalam pada itu, ditanya sama ada akan wujud penentangan dari dalam UMNO khususnya daripada kem Wanita yang sebelum ini mendesak supaya calon mereka dikekalkan, Faisol berkata, perkara itu sudah pastinya diselesaikan lebih awal sebelum pemilihan calon dimuktamadkan.

“Saya tidak fikir akan ada rasa tidak puas hati daripada mana-mana pihak di dalam UMNO, apatah lagi semua pihak dalam parti itu menyedari UMNO dalam keadaan tempang ketika ini.

“Maka, semua pihak pastinya lebih terbuka dalam memberi laluan kepada mana-mana calon untuk bertanding yang pastinya melalui pertimbangan lebih teliti berbanding sebelum ini,” katanya.

PRK DUN Mahkota akan diadakan pada 28 September ini dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September depan.

PRK Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang, Johor.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, Sharifah Azizah yang juga calon BN memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru.

Sharifah Azizah menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Taqiuddin Cheman yang memperoleh 11,445 undi; calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Nor Lingan (7,614 undi) dan calon Warisan, Mohamed Noor Suleiman (555 undi).

DUN Mahkota mempunyai 66,318 orang pemilih terdiri daripada 61,397 pengundi biasa dan 4,510 tentera serta pasangan, 401 anggota polis dan 10 pengundi luar negara. – MalaysiaGazette