Foto: FB Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan terus berjuang untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara yang dihormati berpandukan Perlembagaan Persekutuan yang adil dan saksama.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, parti itu juga tidak akan terpesong haluan, dirampas atau ditenggelamkan meskipun berhadapan dengan pelbagai dugaan dan cabaran.

Tegasnya, parti yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin itu dibina atas landasan perjuangan politik dan pentadbiran yang bersih, berintegriti serta menjaga kebajikan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

“Insya-Allah, bahtera Bersatu sedang belayar menuju kejayaan menjadi wadah politik orang Melayu, kaum pribumi dan seluruh rakyat Malaysia dengan berteraskan lima prinsip Idealisme Perjuangan iaitu Inklusif, Sederhana, Demokratik, Integriti dan Prihatin,” katanya.

Hamzah berkata demikian menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau semalam sempena ulang tahun penubuhan ke lapan Bersatu hari ini.

Tambah Hamzah, walapun dalam usia masih muda, Bersatu telah berjaya menonjolkan barisan kepimpinan yang mempunyai nilai kematangan, kewibawaan dan rekod perkhidmatan yang baik.

Ujarnya, banyak kejayaan telah tercatat dalam sejarah politik Malaysia hasil perjuangan parti itu, khususnya ketika Perikatan Nasional (PN) memerintah negara.

“Bersatu adalah perjuangan rakyat. Bermula dengan 13 Ahli Parlimen pada Pilihan Raya Umum 2018, Bersatu memenangi 31 kerusi Parlimen dan 90 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-15 lalu.

“Bersatu akan terus mara. Bersatu akan terus menongkah arus demi agama, bangsa dan negara. Bersatu akan terus berperanan menjadi suara kepada perjuangan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette