Tiada kerja-kerja pembinaan dijalankan di tapak pembinaan muka sauk Projek Skim Bekalan Air Rasau di Taman Emas Puchong, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL. 08 SEPTEMBER 2024.

PUCHONG – Tapak pembinaan Projek Skim Bekalan Air Rasau di yang bersebelahan pangsapuri Idaman BSP, Taman Mas di sini masih berisiko tinggi bagi kerja-kerja binaan dan orang awam susulan terdapat kesan rekahan akibat pergerakan tanah.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya giat melakukan pemantauan berkala bagi memastikan arahan henti kerja dipatuhi.

“Pihak bomba menjalankan pemantauan berkaitan arahan untuk henti kerja yang telah dikeluarkan sebelum ini di lokasi berkenaan.

“Setakat ini lokasi kejadian terkawal namun masih ada rekahan dikesan akibat pergerakan tanah susulan kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Seorang pengawal keselamatan berdiri di lokasi tapak pembinaan muka sauk Projek Skim Bekalan Air Rasau di Taman Emas Puchong, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL. 08 SEPTEMBER 2024.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan tebing sungai bersebelahan projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau (Peringkat 1) itu runtuh jam 2 petang.

Insiden itu menyebabkan limpahan air Sungai Klang memasuki bahagian hadapan tapak pembinaan projek berkenaan sedalam 19 meter.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Mukhlis memaklumkan runtuhan tebing itu tidak mengorbankan nyawa susulan tindakan pantas pekerja binaan keluar dari tapak projek sebaik sahaja mendengar bunyi kuat akibat pergerakan tanah.

“Semua pekerja didapati berjaya keluar daripada tapak pembinaan, pihak bomba turut dimaklumkan bahawa proses runtuhan tebing mengambil masa kira-kira 20 minit.

“Siren kemudiannya diaktifkan untuk mengeluarkan kesemua pekerja ke tempat selamat,” katanya.

Keadaan di tapak pembinaan muka sauk Projek Skim Bekalan Air Rasau ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Emas Puchong, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL. 08 SEPTEMBER 2024.

Bagaimanapun Ahmad Mukhlis berkata, punca insiden itu masih dalam siasatan.

Semalam, Gamuda Berhad mengarahkan semua kerja pembinaan di tapak projek LRA itu dihentikan serta-merta, sementara menilai keadaan dan melaksanakan protokol keselamatan tambahan. – MalaysiaGazette