Susulan Kejadian Tebing Sungai Runtuh berhampiran kerja kerja pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Emas Puchong, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL. 08 SEPTEMBER 2024.

PUCHONG – Tapak pembinaan projek loji rawatan air (LRA) dekat Taman Mas di sini tidak lagi seperti sebelumnya – bising dengan deruman enjin jentera berat dan hentakan besi ketika kerja-kerja penanaman cerucuk dilakukan.

Hampir 48 jam selepas insiden tebing sungai runtuh berlaku 2 petang semalam, suasana tapak projek ini semakin sunyi sepi selepas semua kerja pembinaan dihentikan serta-merta.

Suasana di tapak kerja-kerja pembinaan muka sauk Projek Skim Bekalan Air Rasau di Taman Emas Puchong, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL. 08 SEPTEMBER 2024.

Tinjauan MalaysiaGazette ke lokasi kejadian mendapati, tiada aktiviti pembinaan dijalankan, hanya kelihatan beberapa individu yang mengenakan topi dan baju keselamatan dipercayai daripada agensi berkaitan melakukan penilaian risiko.

MalaysiaGazette juga difahamkan, beberapa anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya berada di lokasi kejadian kira-kira jam 9 pagi tadi untuk memantau dan memastikan arahan henti kerja dipatuhi pekerja binaan.

Pintu tapak tapak pembinaan muka sauk Projek Skim Bekalan Air Rasau di Taman Emas Puchong, Selangor dikunci oleh pengawal keselamatan. Foto AIZAT ZAINAL. 08 SEPTEMBER 2024.

Sepanjang tinjauan MalaysiaGazette ke lokasi, pintu utama tapak projek itu ditutup sepanjang masa dan dikawal rapi anggota keselamatan untuk mengelakkan kawasan berisiko itu diakses mana-mana pihak termasuk orang awam.

Berdasarkan pemerhatian MalaysiaGazette dari bangunan tinggi berdekatan tapak projek itu mendapati, kesemua cerucuk yang ditanam di dalam kawasan utama projek LRA itu ditenggelami air sungai lebih 90 peratus.

Meskipun ada kesan rekahan akibat pergerakan tanah, namun kabin pejabat dan beberapa kontena dipercayai dijadikan stor simpanan dan asrama pekerja tidak terjejas.

Keadaan di tapak pembinaan muka sauk Projek Skim Bekalan Air Rasau di Taman Emas Puchong, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL. 08 SEPTEMBER 2024.

Bagaimanapun dua kontena yang diletakkan bersebelahan tapak projek utama bagaikan retak menanti belah kerana kesan runtuhan tebing sungai masih dapat dilihat dari jauh dan bila-bila masa boleh tenggelam ke dalam limpahan air sungai.

Selain itu, dua kren yang dibina di atas tapak projek utama masih berdiri kukuh tanpa tanda-tanda jentera itu terkesan biarpun limpahan air sungai sudah menenggelami kawasan sedalam 19 meter itu lebih 24 jam.

 

Tebing sungai yang runtuh berhampiran kerja kerja pembinaan tapak pembinaan muka sauk Projek Skim Bekalan Air Rasau di Taman Emas Puchong, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL. 08 SEPTEMBER 2024.

Kini hanya sampah sarap dan rumput sahaja kelihatan terapung dan memenuhi sekitar kawasan utama projek LRA tersebut yang tenggelam itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast