KUALA LUMPUR – Selepas kenyataan keras oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Teresa Kok mendakwa kenyataannya berhubung pensijilan halal elah mendatangkan banyak salah faham sesetengah pihak.
Katanya, ekoran kenyataan itu, beliau didakwa tidak faham Islam dan tidak sokong pensijilan halal.
Dalam satu kenyataan terbaharunya, Teresa mendakwa, beliau menyokong usaha kerajaan, khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mempromosi pensijilan halal dalam industri makanan dan minuman.
“Sebenarnya standard yang digunapakai oleh Jakim dalam pensijilan halal adalah di antara yang paling tinggi di dunia.
“Saya mempromosi pensijilan halal Malaysia sejak tahun 2008 bila saya pegang Exco Perdagangan, Industri dan Pelaburan di Selangor sehingga hari ini.
“Dalam banyak pertemuan dengan rombongan bisnes dan agensi kerajaan asing, salah satu agenda yang saya bangkitkan adalah meminta mereka mendapatkan pensijilan halal dari Malaysia sekiranya mereka ingin mengeksport apa-apa makanan ke Malaysia ataupun negara-negara Islam yang lain,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Diminta mengulas kenyataan Teresa, perdana menteri berkata, kenyataan Ahli Parlimen Seputeh itu tidak membantu kerajaan menjernihkan keadaan.
“Kita kena jaga sentimen orang Islam dan bukan Islam. Cara dia (Teresa Kok) runding secara elok dahulu bukan tunjuk kehebatan masing-masing.
“Negara kita sudah dalam keadaan baik sekarang, politik sudah stabil penghargaan dunia baik, ekonomi naik perlu apa perkara-perkara ini nak merosakkan,” kata Anwar ketika berucap pada majlis Perasmian Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban Arah Selatan, hari ini.
Artikel berkaitan: Kenyataan Teresa Kok tidak perlu – PM
Teresa, hormati dulu hak majoriti penduduk negara ini – Akmal
Tafsiran Teresa dangkal, wajar didakwa isu 3R – Shahir
Teresa Kok cepat melatah – Faiz
Sebelum ini, Teresa meminta kerajaan mengkaji semula cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang mewajibkan restoran yang tidak menjual daging babi dan alkohol untuk mendapat pensijilan halal telah mendatangkan banyak salah faham sesetengah pihak.
Naib Presiden DAP itu mendakwa sebagai ahli Parlimen, beliau bertanggungjawab untuk mengutarakan masalah dan suara hati rakyat berbilang kaum.
Maka, itu sebabnya beliau meminta kerajaan mengkaji semula cadangan ini.
“Kenyataan saya tidak sama sekali bermaksud saya mempersoalkan pensijilan halal, peranan Jakim atau tidak menghormati agama Islam,” tambahnya yang mengambil maklum respons perdana menteri mengenai kenyataannya.
Bagaimanapun, kata Teresa beliau tidak dapat membangkitkan pandangannya melalui saluran dalaman kerana Mohd Na’im membangkitkan cadangan ini melalui forum terbuka tanpa mengadakan libat-urus dengan wakil rakyat terlebih dahulu.
“Oleh yang demikian, saya tidak mempunyai peluang untuk menyampaikan pandangan melalui saluran dalaman,” dakwanya.
Dalam kenyataan itu, Teresa juga menyatakan akan memberi kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia yang ingin memanggilnya untuk memberi keterangan berhubung kenyatannya dalam isu tersebut. – MalaysiaGazette