Anthony Loke Siew Fook

KUALA LUMPUR – DAP yakin  naib pengerusinya, Teresa Kok tidak melakukan kesalahan mahupun melanggar apa-apa undang-undang di negara ini.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, Ahli Parlimen Seputeh itu hanya mengeluarkan pandangannya terhadap sesuatu dasar kerajaan.

“Pucuk pimpinan DAP yakin Teresa Kok tidak melanggar undang-undang dalam menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sebagai ahli Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Petang tadi, Anthony berkata, parti komponen Pakatan Harapan (PH) berharap isu pensijilan halal yang terpalit dengan Teresa tidak dipolemikkan dan menyifatkan kenyataan itu sekadar menyuarakan kebimbangan pengundi di kawasannya.

Artikel berkaitan: Kenyataan Teresa Kok tidak perlu – PM

Teresa, kalau kamu tak tahu tentang agama kami, jangan cakap, diam lebih elok – Akmal

Tafsiran Teresa dangkal, wajar didakwa isu 3R – Shahir

Teresa Kok cepat melatah – Faiz

Anthony juga berkata, kenyataan Teresa adalah suara kebimbangan yang dilontarkan oleh pengundi terhadap pertimbangan cadangan mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.

Beliau berkata, sebagai ahli Parlimen, Teresa mempunyai tanggungjawab menyatakan pandangan mewakili rakyat di kawasannya terutamanya apabila cadangan berkenaan dilihat dapat mencetuskan kebimbangan terutamanya kepada pengusaha restoran bukan Islam.

Dalam pada itu, Anthony maklum akan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bahawa pihaknya akan memanggil Teresa untuk memberikan keterangan.

“Biro Guaman DAP akan menemani dan memberi nasihat undang-undang kepada Teresa dalam proses tersebut dan akan memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada pihak polis,” katanya lagi.

Razarudin hari ini berkata siasatan itu, dilaksanakan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Razarudin turut memaklumkan siasatan akan dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) melibatkan isu berkaitan raja, agama dan kaum (3R).

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini dilapor mempertimbangkan cadangan mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.

Bagaimanapun,  Teresa dalam kenyataannya mendakwa cadangan pensijilan halal itu berpotensi menambah beban kepada perniagaan, termasuk membabitkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghadiri program di Seremban, Negeri Sembilan menasihatkan pihak yang ada cadangan dan prihatin berkaitan pensijilan halal, supaya membawa perkara itu untuk dibincangkan dalam mesyuarat untuk diteliti. – MalaysiaGazette