takfiri jihad fikrah Khairuddin Aman Razali Takiri
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal wajar dipertimbang kerana boleh menghilangkan keraguan orang Islam yang berkunjung ke restoran atau untuk membeli sesuatu produk makanan.

Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO (MUU), Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, cadangan itu juga dapat mengelakkan orang Islam tersilap membeli makanan yang mengandungi bahan tidak halal tetapi dijual di pasaran terbuka.

Tambah beliau yang juga Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri, restoran yang menyediakan makanan tidak halal juga seharusnya mempamerkan notis tidak halal pada premis mereka sebagai peringatan kepada pengunjung Muslim yang merupakan majoriti penduduk negara ini.

“Kedua-dua perkara ini bertujuan mengelak insiden orang Islam yang berkunjung ke restoran popular yang tidak mempunyai sijil pengesahan Halal seperti diumumkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) beberapa hari lalu melibatkan enam restoran popular,” katanya menerusi satu kenyataan.

Dalam pada itu, kata Mohd. Khairuddin, sekiranya melibatkan restoran kepunyaan orang Islam atau syarikat orang Islam, cadangan mewajibkan persijilan halal itu dilihat tidak sesuai.

Ini kerana, jelas beliau, seorang Muslim asalnya terikat dengan hukum halal haram, suci dan najis dan penyediaan makanan oleh mereka bermula dengan hukum suci tanpa keraguan melainkan dibuktikan sebaliknya.

“Namun, pengiktirafan sijil halal bagi restoran dan produk keluaran orang Islam (dapat) menambah nilai keyakinan kepada orang Islam untuk mengunjungi restoran dan memperolehi produk mereka,” katanya.

Sebelum ini, wujud polemik berkenaan persijilan halal selepas beberapa restoran popular termasuk yang majoritinya pelanggan Muslim disahkan Jakim tidak mempunyai sijil halal daripada agensi tersebut.

Ekoran itu, wujud cadangan supaya Jakim mewajibkan semua pengusaha restoran dan pengeluar produk makanan mendapatkan sijil halal daripada Jakim untuk mengelak kekeliruan tersebut berterusan.

Bagaimanapun, Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok, seperti dilaporkan media berkata, cadangan mewajibkan perolehan sijil halal ke atas restoran dan syarikat makanan hanya menambah beban kepada peniaga. – MalaysiaGazette