Ketua Wanita MIC, Saraswati Nallathamby berucap pada Konvensyen Perwakilan Wanita, Pemuda, Putera dan Puteri MIC Kebangsaan 2024 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 08 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Wanita MIC mezahirkan komitmen untuk memastikan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September ini.

Ketuanya, N Saraswati berkata, Wanita MIC itu sudah mula ‘menggempur’ DUN Mahkota sejak pengumuman PRK itu dengan menyantuni 5,147 pengundi India. 

Menurutnya, pada awalnya mereka menyangka BN akan mempertaruhkan calon wanita bagi menggantikan penyandang, Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

“Kita fikir akan ada calon wanita seperti sebelum ini bagi DUN Mahkota. Tapi tidak mengapa kerana calon, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah juga bukanlah nama asing buat kami semua. Beliau juga antara yang sangat aktif serta dikenali,” katanya kepada media selepas Konvensyen Perwakilan Wanita, Pemuda, Putera dan Puteri MIC Kebangsaan 2024 di sini hari ini.

Perwakilan yang hadir pada Konvensyen Perwakilan Wanita, Pemuda, Putera dan Puteri MIC Kebangsaan 2024 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 08 SEPTEMBER 2024.

Terdahulu ketika memberi ucapan dasar, Saraswati yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemelah berkata, sejak memegang jawatan utama dalam sayap Wanita, beliau sangat komited dalam membawa pembaharuan.

Antara fokusnya termasuklah memperkasakan golongan wanita khasnya dalam kalangan B40 terutamanya dari segi ekonomi, mahu menjuarai isu-isu sosial yang membelenggu masyarakat seperti penderaan, buli dan banyak lagi.

“Walaupun zaman beredar cukup pesat namun banyak lagi isu-isu terus membelenggu dan menggangu-gugat golongan wanita serta kanak-kanak, bukan sahaja ekonomi tetapi isu-isu sosial yang tidak pernah lenyap sehingga saat ini.

“Wanita MIC komited  untuk memainkan peranan penting dalam menangani isu-isu ini apatah lagi Presiden MIC sentiasa peka dengan perkara seumpama ini, selain terus memperkasakan pendidikan,” ujarnya. -MalaysiaGazette