Dr. Kelvin Yii Lee Wuen (kiri) dan Dr. Muhamad Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda DAP, Dr Kelvin Yii Lee Wuen digesa untuk mengajar Ahli Parlimen Teresa Kok supaya beradab.

Gesaan dibuat Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh selepas Kelvin menyelar beliau yang mahu menampal logo tidak halal pada dahi Teresa.

Menurut Dr. Muhammad Akmal, Teresa yang juga Naib Pengerusi DAP tidak wajar untuk mencampuri urusan orang Melayu dan Islam

“Kepada YB Kelvin Yii Lee Wuen. Semak semula siapa yang mulakan isu ini. Sila ajar pemimpin senior kamu untuk beradab.

“Sarang tebuan jangan dijolok. Hal Melayu Islam jangan nak menyibuk. Kalau tak mahu kami di sini biadab, jangan celupar, jangan mencabar!” katanya.

Dr. Muhammad Akmal berkata, beliau boleh bersahabat dan berkawan dengan sesiapa sahaja dan akan membalas dengan berlipat ganda kebaikan kepada orang yang berbudi pekerti.

“Tapi kalau kamu tiada pekerti dan hilang susila, mari kami tunjuk cara biadab dan kurang ajar yang sebenar. Malulah anak jantan kalau orang menjual kita tidak membeli,” katanya di media sosial.

Dr Kelvin dilaporkan berkata, Dr. Muhammad Akmal boleh menentang Teresa dengan fakta dan hujah dan bukan panggilan nama.

Beliau mendakwa, kenyataan Dr. Akmal berbaur seksis dan misoginis iaitu kebencian terhadap wanita, serta biadab dan tidak wajar dilakukan oleh seorang pemimpin pemuda.

“Perbuatan sebegini wajar ditegur dan dikutuk kerana ia menunjukkan contoh yang tidak baik kepada orang lain terutamanya kepada belia negara kita tentang sikap seorang pemimpin negara,” kata Dr. Kelvin dalam kenyataan.

Menerusi satu hantaran video di Tik Tok, Dr. Muhammad Akmal yang melabelkan Ahli Parlimen Seputeh itu sebagai ‘nyonya tua’, berkata Teresa tidak sepatutnya mencampuri urusan agama Islam berkaitan pensijilan halal.

Teresa sebelum ini dilaporkan berkata, cadangan Jabatan Kemajian Islam Malaysia berpotensi menambah beban kepada perniagaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast