Onn Hafiz meninjaub keadaan sebuah sungai di Johor Bahru yang dicemari dengan bahan kimia

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mahu pihak berkuasa mencari sehingga ke lubang cacing mereka yang tidak bertanggungjawab melakukan pencemaran di negeri ini.

Kata Onn Hafiz, satu jawatankuasa khas bagi menangani isu pencemaran itu perlu segera ditubuhkan supaya tindakan tegas dapat diambil terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

“Oleh itu, saya telah mengarahkan dan menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menangani isu pencemaran ini sebaik mungkin.

“Saya amat berharap agar isu ini tidak berulang lagi. Saya mohon agar pengusaha perindustrian dan orang ramai dapat bersama-sama menjaga kebersihan dan kualiti persekitaran kita.

“Semua ini penting bagi memastikan kesejahteraan bersama, melindungi kesihatan awam dan memelihara alam sekitar kita untuk generasi akan datang,” ujarnya dalam hantaran terbaharu Facebook miliknya hari ini.

Pihaknya dimaklumkan siasatan sudah dilaksanakan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor melalui Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat).

Katanya, siasatan itu bagi mengenal pasti sisa bahan kimia yang terkandung dalam sampel air yang tercemar untuk membendung isu pencemaran yang berlaku dari terus merebak.

Menteri Besar Johor itu juga mengakui ada menerima aduan berkenaan pencemaran bau yang berlaku di beberapa kawasan sekitar Johor Bahru.

“Saya telah melakukan lawatan ke lokasi yang berkenaan bagi melihat sendiri situasi sebenar dan menilai tahap pencemaran berlaku,” katanya.

Selasa lalu, beberapa kawasan di Bandaraya Johor Bahru dilanda pencemaran bau kimia yang menyebabkan penduduk khususnya di Kampung Melayu Pandan merasa loya dan pening.

Pencemaran tersebut turut dilaporkan berlaku di tiga taman perumahan di Johor Bahru iaitu Taman Daya, Mount Austin dan Taman Istimewa.

Pencemaran terbaharu dikesan lagi Jumaat lalu di Kawasan Industri Desa Tropika, Johor Jaya manakala hari ini pula pencemaran dikesan di Kampung Orang Asli Pasir Intan, Kota Tinggi dan di Sungai Skudai, Skudai, Johor Bahru.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pencemaran bau: 21 murid SK Kampung Maju Jaya muntah, sesak nafas