ahmad fadhli shaari
Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Pas menyeru kerajaan mempertimbangkan alternatif-alternatif lain yang lebih adil dan berkesan dalam menangani isu-isu seperti pornografi dan jenayah siber.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, antara kaedah yang boleh diambil adalah meningkatkan kempen kesedaran untuk mendidik masyarakat mengenai bahaya kandungan tidak bermoral.

Selain itu, menurutnya, kerajaan juga perlu menggunakan pendekatan penapisan kandungan yang lebih berfokus dan bersifat sukarela, yang memberi pengguna kuasa untuk memilih.

Kaedah lain, tambah beliau, dengan memperketatkan penguatkuasaan undang-undang terhadap jenayah siber tanpa menjejaskan kebebasan internet secara keseluruhan.

Ujarnya, kerajaan juga boleh menggunakan teknologi moden seperti kecerdasan buatan (Al) untuk mengenal pasti dan menyaring kandungan berbahaya secara lebih tepat.

“Pas komited untuk memastikan bahawa segala langkah yang diambil oleh kerajaan dalam mengawal selia internet adalah adil, telus, dan tidak menjejaskan kebebasan bersuara.

“Pas akan terus memantau perkembangan ini dan menyokong usaha-usaha yang selaras dengan nilai-nilai Islam serta hak-hak asasi rakyat Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan.

Terdahulu, media melaporkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diminta tidak meneruskan arahan mewajibkan semua penyedia perkhidmatan Internet (ISP) di Malaysia melakukan penghalaan semula Sistem Nama Domain (DNS).

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, sehubungan itu, SKMM perlu meneruskan siri libat urus bersama semua pihak berkepentingan untuk memperoleh pandangan, cadangan dan saranan, memastikan objektif internet yang lebih selamat dapat dicapai bersama.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli berkata, Pas menyambut baik langkah kerajaan tidak meneruskan arahan tersebut memandangkan sebelum ini pernah menyuarakan kebimbangan tentang risiko penyalahgunaan kuasa dan kesan negatif terhadap kebebasan bersuara.

Ujar beliau, penarikan balik arahan itu adalah langkah tepat untuk memastikan hak-hak rakyat terus dilindungi dan tidak terjejas oleh tindakan yang mungkin digunakan untuk menyekat pandangan yang sah.

“Tahniah kepada kerajaan atas pusingan ‘u-turn’ kali ini. Walaupun tindakan ‘u-turn’ ini boleh menjejaskan sedikit imej kerajaan, ia tetap berbaloi jika akhirnya rakyat yang mendapat manfaat,” katanya. – MalaysiaGazette