KUALA LUMPUR – China merupakan destinasi utama eksport halal Malaysia dengan nilai traksaksi berjumlah RM6.25 bilion (USD 1.4 bilion) sehingga Julai lalu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagaimanapun masih terdapat potensi besar yang belum diterokai terutamanya dalam bidang pensijilan dan pengiktirafan pasaran.

Menurut beliau, Malaysia sehingga kini mengiktiraf 88 badan pensijilan di seluruh dunia termasuk enam daripadanya dari China.

“Walau bagaimanapun, isu mengenai pengiktirafan pensijilan halal masih menjadi salah satu cabaran utama yang perlu ditangani.

“Langkah untuk menyelaraskan piawaian oleh badan-badan pensijilan halal ini telah dimulakan dan sedang di dalam proses untuk mencapai kesepakatan terbaik,” katanya menerusi kenyataan sempana lawatan ke China.

Menurutnya, lebih lebih 30 syarikat mengikuti sesi Dialog Gerbang Halal Malaysia-China di Shanghai yang dianjurkan Halal Development Corporation Berhad (HDC) dan dengan kerjasama China Silk Road Group Ltd.

Jelasnya, sesi dialog tersebut merupakan satu detik penting ke arah meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala dalam sektor halal.

“Oleh itu, forum ini salah satu usaha bagi menyediakan platform terbaik bagi meneroka penyelesaian, menyelaraskan proses pensijilan, dan meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara,” jelasnya.

Selain itu Zahid berkata, organisasi antara kerajaan, BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) memiliki ruang yang signifikan untuk diterokai khususnya melibatkan industri pasaran halal global.

Sehubungan itu ujar beliau, kerjasama antara Malaysia dan China berpotensi untuk menguasai sebahagian besar pasaran dan memacu industri itu ke peringkat yang lebih tinggi sekiranya BRICS dan ASEAN dimanfaatkan.

“Selain itu, pasaran halal turut menawarkan peluang yang besar di dalam BRICS dan ASEAN. Negara-negara BRICS, termasuk China, India, dan Rusia memiliki ruang yang signifikan untuk diterokai bersama.

“Di ASEAN, rantau ini telah menyumbang lebih daripada USD 1.4 trilion bagi pasaran halal global,” katanya.

Terdahulu katanya, berdasarkan Laporan Ekonomi Islam Global 2023/24 perbelanjaan pengguna muslim dalam pasaran halal global mencecah $2.29 trilion pada 2022 iaitu peningkatan 9.5 peratus daripada tahun sebelumnya.

Katanya, situasi tersebut menyaksikan pasaran pasaran halal global meningkat secara luar biasa.

Tambahnya, ini sekaligus memberi peluang kepada Malaysia dan China mewujudkan pasaran baharu sekaligus meningkatkan penguasaan di peringkat global, sejajar dengan visi Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast