Screenshot
KUALA SELANGOR – Seorang ibu tunggal dan teman lelakinya dijatuhi hukuman penjara dan bon berkelakuan baik selama dua tahun secara berasingan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, selepas mengaku bersalah melakukan penganiayaan terhadap anak perempuannya berusia lima tahun, kira-kira sebulan lalu.
Perintah itu dikeluarkan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza dalam prosiding jenayah itu hampir sejam di kompleks mahkamah di sini, hari ini.
Terdahulu tertuduh, Nor Arzilla Ardi, 32 dan kekasihnya, Mohamad Amir Rosdi, 26, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nurul Mardhiah.
Mengikut pertuduhan, suspek secara bersama melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak tersebut dengan cara memukul, mencubit, memijak dan menyiram air panas pada tubuh badan mangsa sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di Jalan Desiran Melawati, di sini, antara 13 Ogos hingga 4 September lalu.
Ketika kejadian, kanak-kanak perempuan malang itu di bawah jagaan ibu kandungannya.
Pasangan kekasih itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Akta itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pertuduhan terhadap seorang pembantu peniaga dan seorang peniaga itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Suhaili Abu Bakar.
Manakala kedua-dua tertuduh masing-masing tidak diwakili peguam.
Terdahulu pihak pendakwaan mencadangkan kedua-dua suspek dikenakan hukuman berat dengan mengambil kira beberapa faktor.
Antaranya kanak-kanak perempuan itu sepatutnya dilindungi ibu kandungnya dengan kasih sayang.
Sebaliknya ibu kandung kanak-kanak itu tidak menjalankan amanah dengan baik hingga memberi kesan trauma dan psikologi yang mendalam.
Selain itu kata Suhaili, hukuman berat juga wajar diberikan susulan tempoh pemenjaraan telah dipinda dari 10 kepada 20 tahun serta denda dari RM20,000 kepada RM50,000 ketika ini.
Pihak pendakwaan turut mencadangkan kedua-dua tertuduh menyempurnakan suatu bon dengan penjamin untuk berkelakuan baik selama apa-apa tempoh dan dengan apa-apa syarat yang difikirkan patut oleh mahkamah serta melaksanakan khidmat masyarakat.
Menurut pihak pendakwaan, sekiranya tertuduh tidak mematuhi mana-mana syarat bon itu, dia boleh didenda selanjutnya tidak melebihi RM10,000.
Dalam prosiding sama, ibu mangsa mengaku tidak mempunyai anak kandung lain dan mangsa adalah anak tunggal.
Nor Arzilla dan Mohamad Amir kemudiannya merayu agar hukuman pemenjaraan dikurangkan memandangkan mereka perlu menanggung adik-beradik lain.

Sebelum ini, media melaporkan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor menahan seorang wanita bagi membantu siasatan kes penderaan anak perempuannya, di sini, 4 September lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin berkata, suspek berusia 32 tahun ditahan pada 5.14 petang, susulan laporan dibuat bekas suaminya berumur 28 tahun.

Katanya, dalam laporan, lelaki itu yang bekerja di kilang ikan di Sungai Besar memaklumkan engetahui kejadian selepas diberitahu isterinya yang menerima mesej WhatsApp ibu pengadu.

Manakala lelaki itu pula ditahan di sebuah rumah di Sik Kedah, pada 5 September lalu. – MalaysiaGazette