Wan Ahmad Fayhsal bersama Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mesyuarat di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa pihaknya telah diberikan arahan agar tidak memberikan apa-apa kenyataan kepada media berhubung sebarang keputusan memorandum persefahaman (MoU) mengenai peruntukan pembangkang yang dikemukakan Kerajaan Perpaduan.

Ahli Parlimen Machang itu bagaimanapun mengaku dirinya tidak gembira dengan draf MoU berkenaan.

“Saya sudah diberikan gag order (perintah larangan) untuk tidak memberikan apa-apa kenyataan mengenai MoU dan kita akan buat sidang media berhubung hal berkenaan.

“Kalau tanya saya, saya tidak gembira dan saya sudah berikan penjelasan dalam kenyataan saya sebelum ini dua minggu lepas dan saya tidak rasa kerajaan ini ikhlas nak bantu rakyat yang sudah di kawasan saya.

“Di negeri Melayu pembangkang dianaktirikan, kawasan yang mana mereka memilih PN (Perikatan Nasional) sebagai wakil rakyat mereka, berbanding negeri DAP yang diberikan layanan macam anak emas,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Bersatu hari ini.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu  berkata, satu kenyataan akan dibuat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam masa terdekat.

Semalam PN mengadakan mesyuarat bagi membincangkan maklum balas terhadap draf MoU mengenai peruntukan pembangkang yang dikemukakan kerajaan.

Bagaimanapun tiada apa-apa kenyataan dibuat gabungan pembangkang itu.

Media sebelum ini melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jumlah peruntukan tidak dinyatakan memandangkan terma bagi draf MoU itu masih belum dipersetujui PN.

Fadillah dipetik berkata, jumlah itu hanya akan diumumkan selepas keseluruhan terma terkandung dalam MoU itu dipersetujui kedua-dua pihak.

Sebelum ini, PN dilapor mendedahkan beberapa syarat didakwa dikenakan Kerajaan Perpaduan yang perlu dipenuhi ahli Parlimen pembangkang bagi membolehkan mereka mendapat peruntukan sebagaimana dituntut.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, secara keseluruhan terdapat tujuh syarat digariskan bawah draf MoU yang diterimanya pada 6 Ogos lalu. – MalaysiaGazette