Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Istilah Halal bukan sekadar berkaitan ramuan, ia merangkumi semua aspek seperti pemprosesan, penyediaan, peralatan dan bahan yang digunakan serta mematuhi kehendak Halalan Toyyiban.

Persatuan Ulama Malaysia (PUM) berkata, adalah penting untuk rakyat Malaysia memahami bahawa istilah seperti no pork, no wine, dan no alcohol tidak semestinya menandakan makanan tersebut halal.

Katanya, kerajaan Malaysia perlu bertegas dalam memproses pensijilan halal mengikut undang-undang, akta, dan enakmen yang sedia ada.

“Malaysia sebagai hab halal antarabangsa mempunyai standard piawaian yang diiktiraf dan dijadikan rujukan utama dalam menentukan kualiti dan keselamatan makanan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Berikutan itu, katanya, peranan Malaysia dalam bidang halal tidak wajar dipandang remeh oleh mana-mana pihak. – MalaysiaGazette