Wendy Subramaniam

KUALA LUMPUR – DAP sepatutnya tidak lagi bersama dengan dengan PKR dan UMNO sekiranya mempunyai pendirian yang berbeza mengenai isu sijil halal seperti yang disuarakan oleh Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok baru-baru ini.

Timbalan Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Wendy Subramaniam berkata, parti berkenaan perlu menterjemahkan perjuangan demi komuniti yang hendak diperjuangkan menerusi tindakan.

“Kami mengakui kebimbangan yang disuarakan oleh Ahli Parlimen Seputeh, Theresa Kok, dan memahami pendirian beliau.
Namun, kami tertanya-tanya jika DAP benar-benar merasakan dasar ini tidak wajar, mengapa mereka masih kekal bersama sahabat mereka PKR dan UMNO.

“Jika DAP begitu yakin dengan kemampuan mereka memimpin seperti didakwa semasa berada di pihak pembangkang, mungkin sudah tiba masanya untuk menunjukkan kepimpinan itu dengan menyingkirkan rakan kongsi gabungan mereka yang mencetuskan isu yang membebankan komuniti yang mereka dakwa hendak bela.

“Gerakan percaya jika DAP benar-benar serius memperjuangkan kepentingan rakyat, terutamanya golongan yang terasa terbeban dengan keputusan ini, mereka patut bertindak dengan tegas,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, tindakan bercanggah dengan apa yang diperjuangkan parti itu dilihat tidak selari dengan kutukan yang dilontarkan terhadap MCA dan Gerakan sebelum ini apabila dianggap tidak berkuasa.

“Mengapa kekal dalam gabungan dengan parti-parti yang kelihatan bercanggah dengan prinsip mereka? Usirkanlah mereka daripada komponen kerajaan, jangan menjadi MCA atau Gerakan yang mereka kutuk dulu, dalam kerajaan tetapi tiada kuasa untuk buat keputusan.

“Jika mereka komited kepada keadilan seperti yang mereka katakan, mungkin sudah tiba masanya untuk mereka bertindak, ambillah tindakan segera,” katanya.

Baru-baru ini, Teresa mencetuskan kontroversi apabila meminta kerajaan mengkaji semula cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang mewajibkan restoran yang tidak menjual daging babi dan alkohol untuk mendapat pensijilan halal telah mendatangkan banyak salah faham sesetengah pihak.

Kemudian, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yakin kenyataan Teresa tidak melanggar undang-undang.

Di sebalik kritikan pelbagai pihak, Anthony berkata, Ahli Parlimen Seputeh itu hanya menyuarakan pandangannya mengenai dasar kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menegaskan kenyataan tersebut tidak mewakili pendirian Pakatan Harapan (PH) selain menyifatkan pandangan itu tidak relevan kepada masyarakat di negara ini.

Sementara itu, Teresa hari ini dipanggil Bukit Aman untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya mengenai isu sijil halal yang didakwa membebankan peniaga. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast