KUALA LUMPUR –Berhenti politikkan isu pensijilan halal dan menjadikannya sebagai dorongan kebencian antara kaum di negara ini, kata Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu menambah, tidak timbul soal paksaan atau bebanan dalam pensijilan halal kerana ia pada asalnya tanggungjawab orang Islam yang mahukan keberkatan hidup yang mematuhi syariat.
Bagaimanapun, ujar Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak itu, keberkatan tersebut kini merentas kepada satu keperluan pasaran yang berkembang pesat dan menguntungkan.
“Hentikan pertikaian yang tidak produktif demi mengangkat industri halal negara ke tahap global dan berhentilah daripada mencetuskan isu sensitif agama kerana isu halal adalah juga paksi kehidupan umat Islam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau turut menyifatkan pihak yang mensensasikan isu pensijilan halal tersebut telah tersasar jauh daripada memahami tuntutan halal dari sudut keperluan pengguna hari ini.
Bekas Menteri Agama itu turut menjelaskan, pengguna masa kini lebih prihatin dalam memilih produk yang memberi mereka keyakinan sama ada dari sudut panduan agama, selamat dari sudut bahan dan sihat dari sudut kesan fizikal dan mental.
Malah, ujarnya, keperluan halal juga telah berjaya merentasi batasan agama kepada keperluan pasaran yang meletakkan piawaian safe (selamat), hygien (bersih) dan healthy (sihat).
“Halal tidak lagi terhad kepada pemilik industri Muslim tetapi syarikat non (bukan) Muslim lebih banyak terlibat dalam permintaan sijil halal berbanding industri yang dimiliki oleh pemilik Muslim,” katanya. – MalaysiaGazette