Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Kerajaan disarankan memperuntukkan 2.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setiap tahun untuk belanjawan penyelenggaraan infrastruktur awam bagi memastikan kemampanan dan kefungsian jangka masa panjang aset negara.

Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia (MiTRANS) dan pakar pengangkutan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Madya Dr Wan Mazlina Wan Mohamed berkata pelaburan itu penting untuk memelihara kualiti dan kebolehgunaan infrastruktur negara.

“Kerajaan boleh membantu menghalang kemerosotan dan memanjangkan jangka hayat aset infrastruktur penting dengan komitmen menyalurkan peruntukan penyelenggaraan tahunan ini.

“Prinsip paling penting bagi peratusan peruntukan untuk penyelenggaraan projek pengangkutan secara amnya merujuk kepada cadangan peratusan daripada KDNK yang perlu dikhususkan untuk menyelenggara infrastruktur,” katanya kepada Bernama.

Wan Mazlina berkata peruntukan penyelenggaraan berbeza-beza berdasarkan status ekonomi sesebuah negara.

“Bagi negara berpendapatan rendah, kira-kira 3.3 peratus daripada KDNK diperlukan. Bagi negara berpendapatan sederhana, sekitar 2.5 peratus daripada KDNK adalah disyorkan. Bagi negara berpendapatan tinggi, dicadangkan kira-kira 0.76 peratus daripada KDNK.

“Peratusan ini diperoleh daripada analisis oleh Bank Dunia dan Persidangan Menteri-menteri Pengangkutan Eropah (ECMT) yang menekankan kepentingan pendanaan yang mencukupi bagi penyelenggaraan untuk memastikan kemampanan infrastruktur,” katanya.

Beliau berkata untuk projek baharu, garis panduan lazim adalah memperuntukkan 10 peratus hingga 15 peratus daripada keseluruhan kos projek untuk penyelenggaraan preventif.

“Mengabaikan penyelenggaraan boleh mengakibatkan kesan besar ke atas infrastruktur dan ekonomi yang lebih luas.

“Kemerosotan infrastruktur boleh berlaku tanpa penyelenggaraan yang kerap, menimbulkan keadaan tidak selamat, peningkatan haus dan lusuh, dan akhirnya pembaikan atau penggantian yang lebih banyak dan kos lebih mahal,” katanya.

Beliau berkata peningkatan kos berlaku apabila infrastruktur yang diabaikan biasanya mengakibatkan perbelanjaan jangka masa panjang yang lebih tinggi.

“Apabila aset semakin merosot, kos pembinaan semula meningkat ketara berbanding perbelanjaan penyelenggaraan yang berterusan,” katanya.

Infrastruktur awam yang diabaikan membawa kepada kos ekonomi yang lebih besar, katanya.

Wan Mazlina berkata contohnya, jalan raya dan sistem transit yang tidak diselenggara dengan baik boleh menghalang pergerakan barang dan orang kerana menimbulkan ketidakcekapan dalam rantaian bekalan serta peningkatan kos operasi untuk perniagaan.

“Kajian menunjukkan penambahbaikan infrastruktur pengangkutan boleh mengurangkan kos sebanyak 11 peratus hingga 21 peratus merentas pelbagai industri sekali gus menunjukkan manfaat ekonomi hasil daripada langkah menyelenggara aset ini,” katanya.

Beliau berkata negara juga terjejas dengan cara lain apabila berkompromi mengenai soal penyelenggaraan infrastruktur.

“Risiko keselamatan, gangguan perkhidmatan dan peningkatan kesan alam sekitar adalah antara akibat negatifnya.

“Faktor imej juga tidak boleh diketepikan, kerana tindakan pengabaian penyelenggaraan menjejaskan persepsi masyarakat terhadap komitmen negara kepada pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur,” katanya.

Sementara itu, pakar lain pula berkata kerajaan perlu menambah peruntukan bagi pengangkutan sosial memandangkan masih ada ruang untuk penambahbaikan berbanding negara lain.

Pakar dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik Universiti Utara Malaysia Prof Madya Dr Rohafiz Sabar berkata penting untuk membandingkan prestasi dan pendekatan Malaysia dengan negara lain yang telah berjaya membangunkan sistem pengangkutan sosial yang berkesan.

“Contohnya Singapura yang mempunyai sistem pengangkutan awam yang sangat cekap meliputi bas, MRT dan LRT. Teknologi canggih dan sistem pembayaran elektronik bersepadu menjadikan sistem di negara itu mudah untuk pengguna.

“Malaysia boleh belajar daripada pendekatan Singapura untuk menyepadukan mod pengangkutan dan penggunaan teknologi pintar seperti kecerdasan buatan,” katanya.

Beliau berkata di United Kingdom, terdapat sistem pengangkutan awam dan kebajikan yang memberikan subsidi, minimum atau (perkhidmatan) percuma untuk individu berpendapatan rendah, warga emas dan orang kurang upaya.

“Malaysia boleh mempertimbangkan subsidi tambahan untuk kos pengangkutan sosial bagi kumpulan yang kurang bernasib baik dari segi ekonomi,” katanya.

Rohafiz juga berkata Sweden amat menekankan kemampanan dengan penggunaan bas dan kereta api elektrik, serta rangkaian pengangkutan yang luas.

“Malaysia boleh mendapatkan inspirasi dari Sweden untuk menjadikan pengangkutan sosial lebih mesra alam dan inklusif,” katanya.

Sementara itu, di Jepun, tumpuan diberikan kepada ketepatan masa dan kepadatan rangkaian rel, katanya.

Beliau berkata negara itu juga menghubungkan bas tempatan dengan stesen kereta api untuk memastikan akses ke bandar utama dari kawasan luar bandar dapat dicapai.

Sehubungan itu, Malaysia boleh mencontohi ketepatan masa dan kebolehpercayaan Jepun terhadap sistem pengangkutannya, katanya.

Australia pula menyepadukan pengangkutan sosial dengan perancangan bandar yang berkesan, mengetengahkan rangkaian bas, trem dan kereta api yang luas, katanya.

“Malaysia boleh menambah baik perancangan bandar sejajar dengan pengembangan pengangkutan sosial untuk meningkatkan kebolehcapaian dan kemudahan,” katanya.

— BERNAMA